KANGAR, 4 Jun (Bernama) -- Kerja baik pulih jalan dan cerun di laluan menghubungkan Wang Kelian dekat Padang Besar dengan Wang Prachan, Thailand yang runtuh akibat hujan berterusan pada November tahun lepas dijangka siap sepenuhnya pada Ogos ini.
Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata ketika ini laluan itu hanya dibuka kepada kenderaan ringan dengan muatan kurang lima tan, tertakluk syarat keselamatan ditetapkan bermula 8 pagi hingga 6 petang sejak 1 Mac.
“Kerja-kerja baik pulih ini masih dijalankan pihak JKR (Jabatan Kerja Raya),” katanya ketika menjawab soalan Haziq Asyraf Dun (Beseri-PN) pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.
Haziq Asyraf ingin tahu perancangan kerajaan negeri terhadap pengoperasian semula sempadan Wang Kelian selepas pascabanjir di Perlis.
Dalam kejadian 23 Nov tahun lepas, hampir 400 mangsa terkandas di Wang Kelian selepas berlaku runtuhan tanah di Jalan Wang Kelian berikutan hujan berterusan.
Sementara itu, Abu Bakar berkata kerajaan negeri sedang berusaha untuk membuka semula operasi Zon Aliran Bebas Wang Kelian apabila Projek Rintis Zon Aliran Bebas Wang Kelian yang dijadualkan pada 12 Dis 2025 hingga 31 Mac lepas terpaksa ditangguhkan kerana banjir dan runtuhan cerun.
“Melihat kepada perkembangan semasa dan mengambil kira saranan jabatan serta agensi berkaitan berhubung aspek keselamatan dalam pelaksanaan Zon Aliran Bebas Wang Kelian, kerajaan negeri telah memohon peruntukan Kementerian Ekonomi bagi pembinaan pagar keselamatan sebagai prasyarat penting sebelum pelaksanaan semula Zon Aliran Bebas dapat direalisasikan.
“Kerajaan negeri komited untuk memastikan pengoperasian semula sempadan Wang Kelian dilaksanakan secara selamat, teratur dan memberi manfaat kepada ekonomi serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
Abu Bakar berkata projek rintis itu akan dimuktamadkan bersama pihak Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Ekonomi selepas kerja pembaikan jalan selesai dilaksanakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial