KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) tidak akan mencadangkan sebarang kuota atau peratusan calon daripada sayap itu kepada parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan akan datang.
Ketua Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan DAPSY Woo Kah Leong berkata sebaliknya tumpuan utama sayap berkenaan adalah memastikan calon yang diketengahkan memahami aspirasi golongan muda serta mampu memperjuangkan isu yang dekat dengan kelompok itu.
“Calon tersebut perlu ada mentaliti untuk selesaikan isu pengangguran dalam kalangan anak muda, ada mentaliti untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan sebagainya. Itu lagi penting bagi saya," katanya.
Woo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam DAPSY bersama pengamal media di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas persediaan serta jangkaan calon yang bakal diketengahkan sayap berkenaan bagi menghadapi kedua-dua PRN tersebut.
Sementara itu, mengulas kemungkinan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) akan mempengaruhi sentimen pengundi di kedua-dua negeri itu, Woo berkata isu itu sepatutnya dilihat dari sudut kepentingan pendidikan nasional dan bukannya sebagai modal politik menjelang PRN nanti.
Katanya, komitmen untuk mengiktiraf sijil tersebut bukan sahaja pernah termaktub di bawah manifesto Buku Jingga ketika DAP bersama PAS di bawah Pakatan Rakyat, malah Barisan Nasional (BN) melalui bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga pernah memberikan janji serupa.
"Saya percaya politik yang cuba dimainkan oleh sesetengah pimpinan politik tidak akan menjejaskan kebarangkalian atau sokongan dinamik parti dalam mana-mana PRN, sebaliknya masyarakat perlu melihatnya daripada lensa dasar dan kebajikan pendidikan," katanya.
Mengulas senario politik pasca PRN Sabah, Woo berkata terdapat perbezaan ketara antara landskap politik di Sabah dan negeri-negeri di Semenanjung
Katanya sentimen di Sabah menyaksikan pengundi lebih cenderung memilih parti tempatan, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau Warisan, namun situasi tersebut berbeza di Semenanjung yang memperlihatkan kebergantungan politik yang lebih rapat antara negeri-negeri.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan untuk mengukur sejauh mana rakyat, khususnya di Johor, menyedari impak serta hasil daripada usaha gigih Kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan yang menggerakkan pelbagai projek melalui kerjasama pelbagai pihak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial