KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) menerajui kementerian dan agensi berkaitan dalam mengguna pakai pendekatan usaha sama seluruh kerajaan bagi membanteras aktiviti perniagaan, penawaran perkhidmatan dan lambakan barangan import yang tidak sah, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.
Dalam catatan di laman Facebook hari ini, Liew berkata pendekatan itu memastikan persaingan yang adil dan saksama untuk syarikat dan industri tempatan.
Beliau berkata langkah itu juga bertujuan memastikan semua aktiviti perniagaan mematuhi sepenuhnya undang-undang dan peraturan Malaysia serta semua produk import mematuhi piawaian yang ditetapkan, khususnya bagi barangan elektrik, makanan dan bahan binaan.
Pada 8 Jun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah warga asing yang menyalahgunakan visa pelawat dan pelajar untuk terlibat dalam aktiviti perniagaan di Malaysia.
Anwar berkata kerajaan menyedari ancaman diwujudkan segelintir warga asing yang memasuki negara ini menggunakan visa pelawat atau pelancong tetapi menjalankan aktiviti perniagaan termasuk dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menurut Perdana Menteri, amalan sedemikian boleh menjejaskan peluang pekerjaan rakyat Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial