JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Rohingya Didakwa Bunuh Rakan Senegara, Cederakan Isteri Mangsa

11/06/2026 02:05 PM

NIBONG TEBAL, 11 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki Rohingya didakwa di Mahkamah Majistret Jawi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya di sebuah kawasan perumahan, bulan lepas.

Osman Bawdi Alom, 38, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Nurul Aina Ahmad, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa membunuh Abdul Rahman Shah Mia, 31, juga lelaki Rohingya di Lorong Belibis 14, Taman Belibis, Seberang Perai Selatan di sini antara 2.45 hingga 2.50 petang 31 Mei.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Di mahkamah sama, Osman juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan dengan menggunakan sebilah pisau terhadap isteri Abdul Rahman, Formin Lal Mia, 26, di lokasi dan pada masa yang sama.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Airina Syazreen Zainurin manakala lelaki itu diwakili peguam G. Sathiash.

Nurul Aina tidak membenarkan jaminan terhadap lelaki itu dan menetapkan 7 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan laporan bedah siasat.

Sementara itu, prosiding pertuduhan terhadap dua wanita Rohingya yang turut ditangkap berkaitan kes tersebut ditangguhkan kepada 23 Jun bagi lantikan jurubahasa Myanmar kerana mereka tidak memahami bahasa Melayu.

Sebelum ini, polis mengesahkan penahanan seorang lelaki dan dua wanita bagi membantu siasatan kematian mangsa yang dipercayai akibat ditikam di beberapa bahagian badan selain isterinya juga cedera dalam kejadian pada petang 31 Mei.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan