AM

Krisis Bekalan Global: 15 Keputusan Selesai Dilaksanakan MTEN

11/06/2026 07:54 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Sebanyak 28 kertas pembentangan merentasi 13 sektor ekonomi telah dibincangkan dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), dengan 15 daripada 126 keputusan yang diminitkan, selesai dilaksanakan.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata sebanyak 111 lagi sedang giat dilaksanakan, melibatkan tindakan jangka sederhana dan panjang kerajaan dalam menangani cabaran ekonomi dan krisis bekalan global.

“Ini menunjukkan MTEN bukan sekadar forum perbincangan. MTEN ialah platform tindakan. Setiap keputusan mesti diterjemahkan kepada pelaksanaan sebenar pada peringkat kementerian dan agensi,” katanya pada Taklimat Krisis Bekalan Global, hari ini.

Sepanjang 100 hari lepas iaitu sejak bermula krisis di Asia Barat, Akmal Nasrullah berkata kerajaan telah menguruskan krisis bekalan global melalui pendekatan berasaskan data, penyelarasan merentas kementerian dan intervensi bersasar.

Beliau berkata sebanyak 113 indikator berfrekuensi tinggi dikenal pasti bagi membolehkan kerajaan menilai risiko dengan lebih cepat dan dipaparkan di Dashboard Pemantauan Krisis Bekalan Global bagi membolehkan data dikongsikan dengan pihak umum meliputi indikator ekonomi, tenaga, makanan, komoditi dan logistik.

Selain itu, beliau berkata dalam suasana global yang tidak menentu, kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat dan daya tahan ekonomi negara.

Akmal Nasrullah turut memberikan jaminan bahawa kerajaan akan memastikan keperluan bekalan utama rakyat mencukupi, bekalan tenaga stabil, industri terus beroperasi, pekerjaan dipertahankan dan bantuan sampai kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan.

“Krisis bekalan global tidak boleh diurus secara bersendirian. Tekanan kepada tenaga akan menekan logistik. Tekanan kepada logistik akan menekan harga. Tekanan kepada harga akan menekan industri dan akhirnya, rakyat akan menerima kesannya,” katanya.

Beliau berkata oleh sebab itu, kerajaan akan terus menjadikan MTEN sebagai platform penyelarasan dasar utama dan terus memantau data, bertindak awal sekali gus melaksanakan intervensi secara bersasar.

Selain itu, Akmal berkata pemantauan harga makanan diteruskan melalui PriceCatcher dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memantau 316 barangan keperluan di lebih 2,000 premis runcit seluruh negara, dengan sokongan 850 Pegawai Pemantau Harga.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan