AM

UM Disasar Tembusi Kelompok 50 Universiti Terbaik Dunia - Zambry

11/06/2026 07:04 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Universiti Malaya (UM) yang kini berada di kedudukan ke-53 terbaik dunia, disasar untuk menembusi kelompok 50 universiti terbaik global menjelang tahun hadapan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata sasaran itu selari dengan usaha berterusan universiti berkenaan dalam memperkukuh budaya kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi serta pembangunan bakat secara holistik.

"UM dalam ranking antara 100 terbaik dunia. Yang terbaru, 53 terbaik dunia. Dulu dari sekitar kedudukan 60, 70, dan sekarang 53 dan mungkin tahun depan akan berada dalam kelompok 50 terbaik dunia. Terus berusaha," katanya ketika berucap merasmikan Universiti Malaya Ideas Festival 2026 (UM iFEST 2026) di Dewan Tunku Canselor, UM di sini hari ini.

Mengulas mengenai hala tuju pendidikan tinggi negara, Zambry berkata kemajuan sesebuah peradaban masa kini tidak lagi bergantung kepada sumber semata-mata, sebaliknya berpaksikan kepada penghasilan idea yang diterjemahkan kepada penyelesaian berimpak tinggi.

Bagi memperkukuh naratif tersebut, beliau turut memetik wawasan bekas Perdana Menteri Britain Winston Churchill dan ahli akademik Profesor Wilhelm Krull mengenai transisi ketamadunan global ke arah penguasaan pemikiran.

"Apa katanya (Churchill)? The empires of the future will be the empires of the mind (Empayar masa depan akan menjadi empayar minda). Dalam erti kata yang lain, empayar idea," katanya sambil menambah bahawa revolusi pendidikan dan kemajuan teknologi masa kini bermula daripada keupayaan universiti menghasilkan ciptaan yang jauh ke hadapan.

Sehubungan itu, Zambry memuji penganjuran UM IFest 2026 yang dijayakan sepenuhnya oleh mahasiswa universiti itu dan menyifatkan program berkenaan sebagai platform penting ke arah melahirkan pendidikan tinggi yang lebih progresif.

"Kita mahu melihat mahasiswa kita, bakat-bakat yang ada dalam universiti kita sentiasa berkembang dengan baik. Usaha-usaha yang inovatif itu dilakukan dengan satu tema yang baik, iaitu unleashing ideas, igniting change.

“Ini satu idea yang sangat besar yang diharap dapat menghasilkan sesuatu yang hebat dalam konteks kita untuk melahirkan pendidikan tinggi yang lebih progresif, inovatif dan berimpak tinggi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan