AM

Pembinaan Balai Cerap Di Manjung Perkukuh Pembangunan Ilmu Falak - Saarani

11/06/2026 07:13 PM

IPOH, 11 Jun (Bernama) -- Sebanyak RM38.65 juta diperuntukkan bagi cadangan pembinaan Balai Cerap Negeri Perak di Pantai Pasir Panjang, Manjung, yang bakal menjadi pusat cerapan falak rasmi negeri sekali gus memperkukuh pembangunan ilmu falak dan astronomi di Perak.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pembangunan kemudahan itu dicadangkan dalam Bengkel Insentif Pembinaan Balai Cerap Negeri Perak yang diadakan pada 19 hingga 20 Mei lepas, melibatkan Jabatan Mufti Negeri Perak, Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Kewangan Negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak.

“Pembinaan balai cerap ini di kawasan Pantai Pasir Panjang, Segari, Manjung akan melibatkan keluasan kira-kira 94 hektar, dengan kawasan tersebut antara lokasi yang diteliti memandangkan ia turut mempunyai kaitan dengan aktiviti cerapan hilal rasmi negeri.

“Kewujudan kemudahan seperti ini menunjukkan bahawa ilmu falak tidak wajar dibiarkan berada di pinggir minat masyarakat atau terbatas dalam ruang seminar semata-mata. Ia perlu mendekati sekolah, universiti, masjid, surau, komuniti belia dan keluarga melalui bahasa yang mudah, pendekatan menarik serta pengalaman meninggalkan kesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Falak Peringkat Negeri Perak bagi Tahun 1448H/2026 di sini hari ini.

Saarani berkata kewujudan Balai Cerap Negeri Perak itu tidak akan menjejaskan fungsi Balai Cerap Tan Sri Harussani di Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN), Behrang, sebaliknya melengkapkan ekosistem kemudahan falak dan astronomi di negeri ini.

“Balai cerap sedia ada akan terus berfungsi sepertimana sebelum ini cuma kewujudan balai cerap baharu di Pantai Pasir Panjang nanti akan melengkapkan lagi kemudahan falak di negeri ini tanpa menjejaskan peranan (balai cerap) sedia ada,” katanya.

Mengulas mengenai program hari ini, beliau berkata penganjuran Bulan Falak wajar diperluas dan tidak seharusnya terhad sebagai acara bermusim kerana ia perlu menjadi platform untuk membuka mata masyarakat berkenaan kepentingan ilmu falak dalam kehidupan seharian.

“Ketika ini, masih terdapat tanggapan bahawa ilmu falak hanya melibatkan pegawai agama atau pakar teknikal semata-mata, manakala sebahagian generasi muda pula melihatnya sebagai bidang yang sukar kerana melibatkan kiraan, istilah dan kaedah cerapan yang khusus.

“Jadi, dengan penganjuran program seumpama ini, ia akan memberi pengetahuan bahawa ilmu falak dekat dengan kehidupan, penting dalam ibadah serta bermanfaat kepada pembangunan pemikiran umat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan