AM

STAR Teliti Langkah Tangani Penjajahan Ekonomi Oleh Warga Asing

11/06/2026 07:59 PM

PUTRAJAYA, 11 Jun (Bernama) -- Kerajaan akan memperkukuh tindakan menangani isu penjajahan ekonomi oleh pihak bukan warganegara yang boleh menjejaskan kepentingan ekonomi negara serta daya saing usahawan tempatan.

Perkara itu antara fokus utama Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar hari ini.

Menurut kenyataan STAR, mesyuarat berkenaan meneliti pembentangan Kementerian Kewangan mengenai isu aktiviti perniagaan oleh warga asing yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan.

"Perkara ini memerlukan tindakan lebih bersepadu bagi memastikan pematuhan undang-undang, melindungi keselamatan pengguna, mengekang aktiviti ekonomi bayangan merujuk kepada aktiviti perniagaan tidak berdaftar dan beroperasi di luar kawal selia yang sewajarnya," menurut kenyataan itu.

STAR memaklumkan langkah itu penting bagi memelihara daya saing usahawan tempatan selain mewujudkan persekitaran perniagaan lebih telus, saksama dan kondusif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Perkara ini memerlukan tindakan lebih bersepadu bagi memastikan pematuhan undang-undang, melindungi keselamatan pengguna serta mengekang aktiviti ekonomi bayangan yang merujuk kepada aktiviti perniagaan tidak berdaftar dan beroperasi di luar kawal selia sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Selain isu berkenaan, mesyuarat turut membincangkan cadangan penambahbaikan pengurusan siasatan dan bahan bukti kenderaan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi menangani isu lambakan serta kesesakan stor.

Menurut kenyataan itu, langkah berkenaan penting bagi mempercepat penyelesaian kes, mengoptimumkan penggunaan ruang simpanan, mengurangkan susut nilai aset serta memastikan pengurusan ekshibit dilaksanakan dengan lebih cepat, cekap dan berintegriti.

STAR memaklumkan mesyuarat itu turut memberi perhatian kepada cadangan penempatan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di institusi penyelidikan kerajaan sebagai usaha membangunkan bakat masa hadapan selaras saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Hari TVET Negara 2026 baru-baru ini.

"Inisiatif ini bertujuan merapatkan jurang kemahiran semasa dengan keperluan sektor strategik khususnya dalam bidang teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, peralihan tenaga, peralihan hijau dan kriptologi gunaan,” menurut kenyataan itu.

STAR memaklumkan melalui pendedahan kepada persekitaran penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang sebenar, program itu dijangka dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET, memperkukuh penghasilan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta menyokong aspirasi negara untuk menjadi ekonomi berasaskan inovasi dan teknologi bernilai tinggi.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan