AM

Tabung Haji Serah Zakat Lebih RM3 Juta Kepada MAIM

12/06/2026 04:36 PM

MELAKA, 12 Jun (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan zakat bagi tahun kewangan 2025 berjumlah RM3,155,678.55 kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad.

Mustakim berkata zakat berkenaan diserahkan kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka di Ayer Keroh, di sini.

“Zakat TH yang disalurkan ini bukanlah sekadar tanggungjawab tetapi pemangkin perubahan dalam memperbaiki kualiti kehidupan golongan asnaf dan yang memerlukan di Melaka. 

"Bagi TH, penyaluran zakat setiap tahun ke seluruh negara termasuk Melaka, adalah amanah yang dipikul dengan penuh tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mustakim berkata menerusi pembayaran zakat itu, TH berharap lebih ramai golongan asnaf dan mereka yang memerlukan dapat dibantu melalui pelbagai program kebajikan, pendidikan dan kesihatan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Mustakim berkata bagi 2025 juga, TH memperuntukkan sebanyak RM1.065 juta bagi pelaksanaan pelbagai program zakat wakalah di Melaka.     

Beliau berkata antaranya membabitkan Program Iqra’ TH IPTA di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Program Afiat yang menyediakan 50 katil mekanikal di beberapa hospital di Melaka, Program Iqra’ Sekolah Angkat MADANI, Program Ehsan Raya serta inisiatif TH Cares, yang memberi manfaat kepada 2,770 asnaf di negeri itu.

“Pengagihan zakat wakalah TH melalui program yang dirancang secara khusus adalah selaras dengan Maqasid syariah bagi memastikan zakat dimanfaatkan secara strategik dan mampan serta diagihkan secara terus kepada asnaf,” katanya.

Beliau berkata menerusi Program Zakat Wakalah TH, bantuan kepada lebih 726,000 asnaf di seluruh negara disalurkan agensi itu pada 2025, menjadikan jumlah keseluruhan penerima bantuan melebihi 2.9 juta asnaf dalam tempoh sedekad.

Katanya setakat 31 Mei lepas, TH mempunyai sebanyak 397,624 pendeposit di Melaka dengan jumlah simpanan terkumpul sebanyak RM3.12 bilion.

"TH akan terus memainkan peranan sebagai institusi kewangan Islam yang prihatin dan bertanggungjawab dalam memperkukuh kesejahteraan ummah melalui pengagihan zakat yang efektif serta program-program pembangunan masyarakat yang memberi manfaat berterusan kepada rakyat," katanya.

-- BERNAMA   


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan