KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mempertimbangkan untuk meneruskan penganjuran program berjalan kaki seperti Fun Walk HAWANA 2026 pada masa hadapan, susulan sambutan amat menggalakkan yang diterima bagi edisi pertama acara itu yang berlangsung hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata penyertaan hampir 2,000 peserta membuktikan sambutan positif orang ramai terhadap aktiviti yang menggabungkan elemen gaya hidup sihat serta pengukuhan hubungan antara pengamal media dengan masyarakat.
Beliau berkata pihak urus setia turut menerima permohonan penyertaan yang berterusan sehingga tarikh pendaftaran ditutup, sekali gus mencerminkan minat tinggi terhadap program yang dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.
“Dengan kadar sambutan sebegini, saya percaya ia akan diadakan lagi kerana banyak respons yang kami terima daripada peserta yang menyifatkan program ini sebagai sesuatu yang amat baik.
“Malah, ramai yang hadir bersama ahli keluarga dan anak-anak kecil, jadi ia sesuatu yang amat menggalakkan,” katanya kepada pemberita selepas program Fun Walk HAWANA 2026 di Taman Tasik Titiwangsa, di sini.
Program berjalan kaki sejauh 2.6 kilometer itu adalah antara acara pengisian sempena HAWANA 2026, dan berperanan sebagai platform yang menyatukan komuniti media serta masyarakat menerusi aktiviti yang menggalakkan gaya hidup sihat dan memupuk semangat kebersamaan.
Nur-ul Afida berkata program berkenaan turut mencapai objektif untuk mengeratkan hubungan antara pengamal media, warga Bernama dan masyarakat pelbagai kaum dalam suasana santai serta mesra.
“Kita boleh lihat penyertaan pelbagai kaum dalam Fun Walk ini dan itulah matlamat kita, berjalan sambil beramah mesra serta mengeratkan silaturahim.
“Bukan sahaja dengan komuniti luar tetapi juga dalam kalangan staf sendiri yang mempunyai peluang untuk bersama-sama meluangkan masa dan mengeratkan hubungan,” katanya.
Beliau berkata kejayaan penganjuran program itu turut disokong oleh kira-kira 14 rakan strategik yang membuka reruai masing-masing, dengan matlamat mempromosikan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Antara 14 rakan strategik itu terdiri daripada sektor korporat dan institusi, termasuk Pusat Perubatan Universiti Malaya, Basic Tees, BigBigPlace, Maxim E-Hailing, Cap Kunci, Milo, Extra Joss, Munchy’s Oat Krunch, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), MOMAwater, Yakult, ZUS Coffee, Selangor Fruit Valley dan Sunshine Bakeries.
Majlis kemuncak sambutan HAWANA 2026 akan berlangsung di Pulau Pinang pada 20 Jun ini, dan dijadualkan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial