Oleh Siti Nur Athirah Abdullah dan Yasmin Damia Mohd Rizal
KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Tuah menyebelahi seorang remaja apabila diumumkan sebagai pemenang hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah motosikal elektrik pada Program Fun Walk HAWANA 2026 di Taman Tasik Titiwangsa, hari ini.
Muhammad Adam Akif Salizan, 17, yang membawa pulang motorsikal elektrik Yadea RS20, menyifatkan kemenangan itu sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka, lebih-lebih lagi ia pengalaman pertamanya memenangi cabutan bertuah.
Remaja yang hadir bersama enam lagi ahli keluarganya dari Hulu Langat, Selangor itu berkata mereka tiba seawal 7.30 pagi bagi menyertai program yang dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.
“Saya sangat teruja sebab sebelum ini tak pernah menang apa-apa. Memang tak sangka hari ini rezeki berpihak kepada saya,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Dianjurkan buat julung kali oleh Kementerian Komunikasi melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) selaku agensi pelaksana, program Fun Walk HAWANA yang menghimpunkan hampir 2,000 peserta, bertujuan memupuk amalan gaya hidup sihat, di samping memperkukuh hubungan antara pengamal media dan masyarakat menerusi aktiviti riadah berasaskan komuniti.
Sementara itu, tuah turut menyebelahi kanak-kanak berusia enam tahun, Seth Raid Albakri Mohd Jamil yang juga membawa pulang motorsikal elektrik EZI RAY-01, meskipun pada awal hanya memasang impian untuk memenangi sebuah basikal yang turut ditawarkan sebagai antara hadiah utama.
Ibunya, Serieffa Mushtafa Albakry, 44, berkata Seth begitu teruja dengan kemenangan itu sehingga enggan membenarkan sesiapa menyentuh motosikal berkenaan.
“Lepas menang motosikal ini, dia terlalu gembira sampai tak bagi orang lain, termasuk ayah dan abang dia, sentuh motosikal itu sebab dia kata itu motosikal dia,” katanya sambil ketawa.
Seorang lagi pemenang cabutan bertuah, Waliyuddin Kamaruzzaman, turut teruja apabila membawa pulang sebuah skuter elektrik ALGO (tiga tempat duduk), meskipun hampir terlepas peluang menerima hadiah berkenaan kerana berada di tandas ketiga nombor pemenang diumumkan.
Beliau bagaimanapun bernasib baik apabila isterinya, Shaha Wali, yang berada berhampiran pentas segera tampil menunjukkan bukti nombor penyertaan, selain mendapat kerjasama peserta lain yang turut membantu mengesahkan kemenangan berkenaan.
“Alhamdulillah, motosikal ini nanti boleh digunakan untuk hantar anak-anak ke sekolah dan urusan harian seperti ke kedai,” katanya yang hadir bersama tiga lagi anggota keluarganya dari Ampang dan Cheras.
Sementara itu, seorang kerani Radio Televisyen Malaysia (RTM), Norfazira Ahmad Sabri, 31, berkata beliau berasa sangat bersyukur apabila memenangi hadiah air fryer (penggoreng kering) selepas hadir bersama rakan-rakan sekerja dari tempat kerja.
Selain itu, beberapa rakan sekerjanya yang turut hadir dalam kumpulan sama juga memenangi cabutan bertuah pada acara berkenaan.
Tidak ketinggalan, Asymal Widad Asyhar Badri, 26, yang hadir bersama rakan-rakan, memenangi hadiah sebuah ice-box, dan meluahkan rasa gembira kerana jarang-jarang sekali berpeluang memenangi cabutan bertuah dalam mana-mana program.
“Saya sangat gembira … . Terima kasih Bernama sebab sediakan banyak hadiah dalam aktiviti hari ini,” katanya.
Majlis Kemuncak sambutan HAWANA 2026 yang bertemakan “Media Berintegriti, Teras Kreadibiliti” akan berlangsung pada 20 Jun ini di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang, dan dijadual disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial