SUKAN

KBS Cari Jalan Penyelesaian Berhubung Hasrat Beasley Tinggalkan Skuad Negara

16/06/2026 03:19 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari memberi jaminan isu membabitkan Pengarah Teknikal Program Berbasikal Negara John Beasley akan ditangani secara menyeluruh bagi memastikan pembangunan sukan itu tidak terjejas.

Beliau berkata kegusaran yang dibangkitkan Beasley, termasuk dakwaan wujudnya unsur politik, kerenah birokrasi serta kekangan pembangunan akar umbi telah dikenal pasti lebih awal.

“Majlis Sukan Negara (MSN) telah mengadakan sesi dialog awam pada 8 Jun lepas melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), persatuan negeri, jurulatih serta Beasley sendiri bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Perbincangan itu bertujuan mencapai kata sepakat, khususnya dalam aspek pemilihan atlet, termasuk isu pelepasan atlet oleh persatuan negeri untuk menyertai kejohanan di peringkat kebangsaan,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Kelayakan Sukan Asia Honor of Kings di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Beasley dijangka melepaskan jawatan lebih awal, iaitu pada penghujung tahun ini walaupun kontraknya hanya berakhir pada 31 Januari tahun depan, susulan kekecewaan yang semakin memuncak terhadap beberapa isu dalaman sukan berbasikal negara.

Dr Mohammed Taufiq berkata pihaknya melalui MSN akan mengadakan pertemuan bersama Beasley dan PKBM dalam masa terdekat bagi memastikan semua pihak mencapai titik persetujuan.

Beliau turut memaklumkan Beasley memberi jaminan akan terus menjalankan tugas seperti biasa sekurang-kurangnya sehingga tamat temasya utama tahun ini, termasuk Sukan Komanwel 2026 dan Sukan Asia 2026.

“Persiapan atlet tidak akan terjejas dan beliau masih komited untuk menerajui pasukan bagi menghadapi kejohanan utama tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mohammed Taufiq berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited menyediakan platform perbincangan yang inklusif melibatkan semua pemegang taruh bagi merangka penambahbaikan jangka panjang, termasuk aspek tadbir urus dan pembangunan akar umbi.

“Sesi perbincangan ini akan diteruskan dan kami tidak mahu keputusan dibuat secara sebelah pihak. Apa yang penting, setiap keputusan perlu memberi manfaat kepada atlet dan negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan