AM

Permintaan Industri Terhadap Graduan Berkemahiran Tinggi Kekal Kukuh - UTM

18/06/2026 02:49 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Permintaan industri terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi yang terus berkembang menunjukkan statistik pengangguran negara tidak boleh ditafsir secara umum, sebagai gambaran sebenar kebolehpasaran graduan institusi pendidikan tinggi.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Ali Selamat berkata statistik pengangguran yang sering menjadi perhatian masyarakat, perlu dilihat dalam konteks lebih menyeluruh kerana ia merangkumi pelbagai kategori individu daripada latar belakang pendidikan, umur dan status pekerjaan yang berbeza.

Beliau berkata persepsi bahawa peluang pekerjaan semakin berkurangan atau graduan semakin sukar memperoleh pekerjaan, perlu dinilai berdasarkan realiti semasa pasaran buruh dan perkembangan ekonomi negara.

“Perkembangan ekonomi negara terus mewujudkan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam pelbagai sektor strategik.

“Justeru, isu yang dihadapi ketika ini bukan semata-mata berkaitan kekurangan peluang pekerjaan, sebaliknya lebih menjurus kepada keperluan memastikan tenaga kerja memiliki kemahiran yang bersesuaian dengan kehendak industri,” katanya dalam kenyataan.

Ali berkata sektor seperti teknologi, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, pusat data, tenaga boleh baharu, ekonomi digital dan pembuatan berteknologi tinggi terus berkembang pesat, serta mewujudkan permintaan tinggi terhadap tenaga kerja berkemahiran dan berpengetahuan.

Beliau berkata perkembangan itu, selaras dengan transformasi ekonomi negara ke arah ekonomi berasaskan teknologi, inovasi dan nilai tambah tinggi.

Ali berkata usaha berterusan UTM dalam memperkukuh pembangunan bakat dan kerjasama industri, turut membuahkan hasil apabila sebahagian besar graduannya berjaya memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Lebih membanggakan, sebanyak 84.7 peratus graduan tempatan UTM yang bekerja berada dalam kategori pekerjaan berkemahiran tinggi melibatkan jawatan profesional, teknikal dan pengurusan yang menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Ali berkata pencapaian itu, mencerminkan kesesuaian kemahiran graduan dengan keperluan industri serta perubahan struktur ekonomi negara.

Bagi meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan, UTM menganjurkan UTM Premium Career Festival 2026 pada 14 dan 15 April lepas, yang menghimpunkan 75 majikan terdiri daripada 52 syarikat multinasional dan 23 syarikat tempatan, melibatkan lebih 2,330 peluang pekerjaan ditawarkan kepada pelajar dan graduan.

Ali berkata penyertaan syarikat terkemuka dalam program itu membuktikan permintaan industri terhadap graduan berkualiti dan berkemahiran tinggi masih kekal kukuh, khususnya dalam sektor teknologi, kejuruteraan, digital dan pembuatan berteknologi tinggi.

Beliau berkata UTM akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan industri melalui pelbagai inisiatif pembangunan bakat, latihan industri, pensijilan profesional dan program mentor profesional bagi memastikan graduan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan semasa.

Ali berkata pembelajaran sepanjang hayat, peningkatan kemahiran dan penguasaan teknologi digital, kini menjadi antara faktor utama yang menentukan daya saing graduan dalam pasaran kerja yang semakin berkembang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan