AM

Liputan Lahad Datu Uji Keberanian, Ketahanan Wartawan

18/06/2026 04:45 PM

Oleh Muhamad Amir Aiman Azlan

 

SHAH ALAM, 18 Jun (Bernama) --Pengalaman membuat liputan pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah pada 2013 menjadi antara detik paling mencabar dalam kerjaya awal seorang wartawan yang ketika itu baharu tiga tahun bergelar pengamal media.

Bagi Wakil Kosmo! Selangor, Mohd Yunus Yakkub, 43, insiden yang disifatkannya sebagai "peperangan moden" di tanah air itu bukan sekadar tugasan biasa, sebaliknya menguji keberanian, ketahanan mental serta komitmennya sebagai wartawan dalam mendapatkan maklumat tepat di kawasan konflik.

Mengimbau tragedi berkenaan, Mohd Yunus berkata beliau menerima maklumat awal mengenai pencerobohan kumpulan bersenjata Sulu pada Februari 2013, sejurus selepas dipindahkan ke Kota Kinabalu untuk bertugas di Kosmo! Sabah.

Katanya beliau kemudian diarahkan ke Felda Sahabat, Lahad Datu, bagi membuat liputan mengenai insiden yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat ketika itu.

"Pada peringkat awal konflik, maklumat yang diperoleh sangat terhad kerana pihak berkuasa perlu berhati-hati dalam menyalurkan maklumat memandangkan operasi keselamatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti jumlah penceroboh serta kedudukan mereka.

"Polis tidak boleh mendedahkan terlalu banyak maklumat kerana operasi masih berlangsung. Jadi, sebagai wartawan, kami perlu lebih aktif di lapangan untuk mendapatkan maklumat sendiri," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu berkata kebanyakan maklumat diperoleh menerusi sidang media polis, sumber di lapangan serta penduduk kampung yang tinggal berhampiran kawasan operasi.

Bagaimanapun, beliau berkata setiap maklumat yang diterima perlu disemak dan disahkan terlebih dahulu bagi mengelakkan penyebaran berita tidak tepat yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

"Jika menerima maklumat daripada penduduk kampung, saya akan menyemaknya dengan beberapa individu lain. Apabila tiga sumber memberikan maklumat yang sama, barulah saya lebih yakin untuk menggunakannya dalam laporan," katanya.

Mohd Yunus berkata cabaran terbesar ketika itu ialah situasi keselamatan yang tidak menentu serta kesukaran membezakan penduduk tempatan dengan individu yang disyaki terbabit dalam pencerobohan kerana mereka bercampur dalam komuniti setempat.

"Kami sentiasa berdepan kebimbangan, terutama ketika operasi menyeluruh atau 'sweeping' dijalankan kerana tidak mengetahui latar belakang individu yang ditemui. Ada masanya kami hanya bertawakal ketika menjalankan temu bual di kawasan kampung," katanya.

Beliau berkata meskipun berdepan risiko keselamatan, beliau bersama rakan media tetap berusaha mendapatkan gambaran sebenar situasi di lapangan bagi memastikan laporan yang disampaikan kepada masyarakat adalah tepat dan menyeluruh.

Katanya persaingan sesama pengamal media ketika itu juga agak sengit kerana masing-masing berusaha mendapatkan berita eksklusif, namun mereka tetap mematuhi etika kewartawanan dan tidak sewenang-wenangnya menyiarkan maklumat yang belum disahkan.

Mohd Yunus berkata antara laporan yang paling diingatinya sepanjang membuat liputan konflik itu ialah kes mahkamah membabitkan seorang individu yang didakwa diupah untuk menyerang Sabah, selain laporan bertajuk "Budaya Balas Dendam Pengganas Sulu".

Katanya laporan berkenaan memaparkan kisah seorang penduduk kampung yang mendakwa hampir dipenggal kerana disyaki menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

Berpengalaman selama 16 tahun dalam bidang kewartawanan, beliau menyifatkan liputan Lahad Datu sebagai antara pengalaman yang paling banyak membentuk dirinya menjadi wartawan yang lebih berani, teliti dan mementingkan ketepatan fakta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan