KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Top Glove Corporation Bhd, mencatatkan lonjakan dalam keuntungan bersihnya kepada RM80.98 juta pada suku ketiga berakhir 31 Mei, 2026 daripada RM34.74 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia itu menyatakan perolehan bagi suku ketiga turut meningkat kepada RM1.09 bilion daripada RM830.25 juta sebelumnya.
“Prestasi kumpulan ini disumbangkan oleh pengurusan bahan mentah yang berhemat, terutamanya dalam memastikan bekalan lateks nitril yang stabil di tengah-tengah gangguan bekalan baru-baru ini, yang membolehkan pengeluaran sarung tangan berjalan tanpa gangguan dan memenuhi pesanan pelanggan secara konsisten.
“Ini turut disokong oleh pelarasan harga jualan purata (ASP) yang dibuat tepat pada masanya selaras dengan kenaikan kos bahan mentah,” jelasnya.
Top Glove menambah penambahbaikan operasi yang berterusan dalam kualiti produk dan kecekapan kos, ditambah pula dengan kadar penggunaan yang tinggi turut memacu peningkatan margin.
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 31 Mei, 2026, untung bersih syarikat meningkat kepada RM150.33 juta daripada RM70.50 juta, manakala hasil turut meningkat kepada RM2.98 bilion berbanding RM2.59 bilion.
Mengenai prospek, Top Glove menyatakan operasi yang tangkas, penambahbaikan berterusan dalam kualiti dan kecekapan kos, meletakkan syarikat dalam kedudukan yang baik untuk bertindak balas secara berkesan terhadap perubahan dalam keadaan bekalan sambil terus memenuhi keperluan pelanggan.
Ia memaklumkan komitmen berterusan syarikat terhadap kemampanan, kecemerlangan operasi dan prestasi perniagaan telah diiktiraf menerusi beberapa penghargaan serantau dan antarabangsa sepanjang suku tahun itu.
“Top Glove mengekalkan kedudukannya dalam Indeks Kelas Terbaik S&P Dow Jones (BIC) 2026, menandakan tahun ketujuh berturut-turut syarikat itu disenaraikan dalam indeks kemampanan yang diiktiraf di peringkat global, yang sebelum ini dikenali sebagai Indeks Kemampanan Dow Jones (DJSI).
“Syarikat ini kekal sebagai satu-satunya syarikat Malaysia yang diwakili dalam sektor Peralatan dan Bekalan Penjagaan Kesihatan di bawah Indeks Pasaran Membangun,” katanya sambil menambah Top Glove mencatatkan prestasi yang jauh lebih tinggi daripada purata industri, sekali gus muncul sebagai pengeluar sarung tangan dengan skor tertinggi dalam kalangan rakan industri di Malaysia dan Thailand.
Kumpulan itu juga tersenarai buat tahun ketiga berturut-turut dalam senarai berprestij Southeast Asia 500 oleh majalah Fortune, yang menyenaraikan syarikat-syarikat terbesar di rantau berkenaan berdasarkan hasil bagi Tahun Kewangan 2025.
“Inisiatif penambahbaikan yang berterusan dalam pengurusan kualiti dan kos meletakkan kami dalam kedudukan yang kukuh untuk kekal berdaya tahan dalam keadaan pasaran yang berubah-ubah,” kata Pengerusi Eksekutif Top Glove Tan Sri Dr Lim Wee Chai.
Sementara itu, Pengarah Urusan Bersama Lim Jin Feng berkata perkembangan terbaru di Asia Barat turut memberikan pembelajaran yang berharga dalam mengurus cabaran geopolitik dan mengurangkan gangguan bekalan.
“Hal ini memperkukuh kesiapsiagaan kami dan meletakkan kami dalam kedudukan untuk bertindak balas dengan lebih berkesan terhadap cabaran sedemikian pada masa hadapan,” katanya.
Pengarah Urusan Bersama Ng Yong Lin berkata walaupun persekitaran akan datang mungkin tidak menentu, kumpulan itu terus memberi tumpuan kepada keutamaan teras yang berada dalam kawalannya, iaitu mengekalkan kualiti sarung tangan, meningkatkan kecekapan kos dan memastikan pelaksanaan yang kukuh.
“Apa yang penting, sarung tangan merupakan produk keperluan merentasi sektor penjagaan kesihatan, perindustrian serta sektor berkaitan makanan dan permintaannya kekal berdaya tahan.
“Kami akan terus menguruskan operasi kami secara berhemat bagi memastikan bekalan sarung tangan yang konsisten dan boleh dipercayai untuk pelanggan kami,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial