AM

Ulang Kaji Lima Jam Sehari Resipi Raih Keputusan 4A Dalam STPM

18/06/2026 05:32 PM

IPOH, 18 Jun (Bernama) -- Amalan mengulang kaji pelajaran lima jam sehari menjadi kunci kejayaan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tasek, Yong Xin Yi, 20, meraih keputusan cemerlang 4A dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.

Xin Yi berkata dia mengulang kaji dari  5 petang hingga 10 malam setiap hari, selain memberikan tumpuan sepenuhnya ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

“Bagi saya penumpuan dalam kelas itu lebih penting kerana ia memudahkan saya memahami penerangan guru secara terus, sekali gus mengurangkan kekeliruan ketika mengulang kaji di rumah.

“Selain itu, saya juga akan memastikan semua kerja rumah yang diberikan guru disiapkan kerana ia membantu saya menguasai sesuatu topik yang dipelajari itu dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Anak tunggal kelahiran Ipoh itu mendapat keputusan A bagi mata pelajaran Pengajian Am, Prinsip Akaun, Pengajian Perniagaan dan Ekonomi dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.

Dia juga antara lima pelajar SMK Jalan Tasek yang mendapat keputusan 4A bagi peperiksaan berkenaan pada tahun ini.

Antara subjek paling mencabar ialah Pengajian Am kerana memerlukan kemahiran menulis yang baik serta pemahaman terhadap format dan skema pemarkahan yang ditetapkan.

Cabaran itu menyebabkan dia memberikan perhatian yang lebih kepada subjek berkenaan berbanding mata pelajaran lain bagi memastikan kelemahan berkenaan dapat diatasi dengan lebih awal.

Pelajar itu berkata kejayaan yang diraih itu bukan hasil usaha dirinya semata-mata, sebaliknya didorong oleh sokongan berterusan daripada ibu bapa, yang banyak memberikan semangat. 

“Saya ingin menggunakan kejayaan ini untuk mengubah nasib keluarga ke arah yang lebih baik serta memastikan pengorbanan ibu bapa saya selama ini terbalas dengan pencapaian yang lebih membanggakan pada masa hadapan,” katanya.

Dia juga bercita-cita menjadi pakar ekonomi dan berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang ekonomi di Universiti Putra Malaysia (UPM).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan