AM

Pelajar SMK Merapok Raih Kejayaan Melangkaui Sasaran, Muncul Pelajar Cemerlang STPM

18/06/2026 05:20 PM

KUCHING, 18 Jun (Bernama) -- Bermula dengan sasaran sederhana, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merapok, Lawas mencipta kejayaan melangkaui jangkaannya apabila muncul sebagai pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Fredoline Rinai Felix Den, 20, mengakui pada awalnya beliau hanya menyasarkan keputusan sekitar Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.50 kerana menyedari peperiksaan itu bukan mudah, namun keputusan PNGK 4 yang diterima hari ini membuktikan bahawa usaha gigih berterusan pasti akan membuahkan hasil.

“Saya sebenarnya tidak sangka akan memperoleh keputusan seperti ini, pada mulanya, sasaran saya hanyalah sekitar 3.5 atau lebih tinggi kerana saya tahu perjalanan mengambil peperiksaan STPM bukan mudah.

“Ada ketika saya rasa sangat sukar dan hampir mahu berputus asa tetapi keluarga dan rakan-rakan sentiasa memberi semangat dan meyakinkan saya bahawa saya mampu melakukannya,” katanya kepada Bernama selepas majlis pengumuman keputusan STPM Tahun 2025 Peringkat Sarawak di SMK Tun Abang Haji Openg, di sini, hari ini.

Fredoline berkata dorongan yang tidak putus-putus daripada ibu serta guru menjadi kekuatan utamanya untuk terus bertahan ketika berdepan tekanan dan keraguan terhadap kemampuan diri sendiri.

Sementara itu, ibu Fredoline, Jennifer Beru, 51, menyifatkan kejayaan anaknya itu sebagai sesuatu yang amat bermakna.

“Sebagai seorang ibu, saya rasa perkataan yang lebih tepat ialah bersyukur, saya sangat bersyukur kepada Tuhan kerana segala usaha yang anak saya lakukan akhirnya membuahkan hasil,” katanya.

 Ibu kepada lima orang anak itu berkata kejayaan anaknya hari ini membuktikan bahawa kecemerlangan bukan hanya lahir daripada kebijaksanaan semata-mata, tetapi daripada gabungan disiplin, sokongan keluarga dan penghargaan terhadap ilmu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan