EKONOMI

ASEAN, Rusia Perlu Perkukuh Kerjasama Keselamatan, Ekonomi, Rakyat: Marcos

18/06/2026 07:42 PM

Daripada Nurul Hanis Izmir

KAZAN, 18 Jun (Bernama) -- ASEAN dan Rusia perlu memperkukuh kerjasama dalam bidang keselamatan, perdagangan, pelaburan dan hubungan antara rakyat ketika kedua-dua pihak melakar fasa seterusnya dalam perkongsian strategik mereka, kata Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. pada Khamis.

Dalam ucapan pembukaan sesi pleno Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia, Marcos yang juga Pengerusi ASEAN semasa menggariskan tiga keutamaan kerjasama antara ASEAN dan Rusia untuk tahun-tahun mendatang.

“Dalam era ketidaktentuan geopolitik yang semakin mendalam, nilai penglibatan politik dan keselamatan yang konsisten antara ASEAN dan Rusia tidak boleh dipandang remeh,” katanya sambil menambah bahawa ancaman rentas sempadan seperti keganasan, pemerdagangan haram, jenayah siber dan penipuan dalam talian tidak mengenal sempadan.

Beliau menggesa kerjasama lebih erat dalam keselamatan maritim dan usaha menentang keganasan, meningkatkan daya tahan kolektif dalam ruang siber serta memperkukuh keupayaan untuk menjangka cabaran baharu, bukan sekadar bertindak balas terhadapnya.

Dalam aspek ekonomi, Marcos berkata hubungan perdagangan dan pelaburan masih belum mencapai potensi sepenuhnya.

“Kita perlu lebih proaktif dan bercita-cita tinggi dalam memperluas peluang ekonomi, menambah baik fasilitasi perdagangan, memperdalam aliran pelaburan dan menghubungkan komuniti perniagaan kita,” katanya.

Beliau berkata keselamatan makanan dan tenaga juga perlu diberi perhatian khusus kerana menjadi asas kepada kestabilan yang lebih menyeluruh.

Selain itu, Marcos berkata kerjasama ekonomi perlu bersifat inklusif dengan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memainkan peranan yang lebih besar dalam perkongsian berkenaan, selain memperluas kerjasama ke sektor-sektor baharu yang akan membentuk ekonomi global masa depan.

Menyentuh hubungan antara rakyat, Marcos berkata biasiswa, pertukaran pelajar, kerjasama akademik, pelancongan dan seni merupakan elemen penting dalam hubungan ASEAN-Rusia.

“Ia bukan perkara sampingan dalam hubungan kita. Sebaliknya, ia merupakan teras yang menghidupkan hubungan ini,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa hubungan antara rakyat mampu bertahan melangkaui sidang kemuncak dan terus menggerakkan perkongsian itu ke hadapan, sambil menyeru agar golongan belia diletakkan di pusat kerjasama kerana merekalah generasi yang akan mencorakkan masa depan hubungan ASEAN-Rusia.

Mengimbas hubungan selama 35 tahun itu, Marcos berkata hubungan ASEAN-Rusia dibina berasaskan sikap saling menghormati, kepentingan bersama dan komitmen terhadap kerjasama aman.

Beliau berkata penyertaan Rusia dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Kuala Lumpur pada 1991 telah meletakkan asas kepada perkongsian tersebut.

“Prinsip yang membimbing langkah awal itu iaitu saling menghormati, kesaksamaan kedaulatan dan komitmen terhadap kerjasama aman seperti termaktub dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC), kekal relevan hari ini sebagaimana ketika ia diperkenalkan dahulu,” katanya.

Ini merupakan lawatan pertama Marcos ke Rusia, 50 tahun selepas bapanya, Presiden Ferdinand Marcos Sr., melakukan lawatan bersejarah ke Kesatuan Soviet pada 1976 yang kemuncaknya membawa kepada penubuhan hubungan diplomatik antara Manila dan Moscow. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan