KOTA BHARU, 19 Jun (Bernama) -- Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Kelantan (DPMMNK) memaklumkan terdapat warga asing menggunakan perkahwinan dengan wanita tempatan dan perkongsian perniagaan sebagai saluran untuk menjalankan aktiviti perniagaan atas nama rakyat tempatan.
Yang Dipertuanya Wan Zulkifli Wan Abdullah berkata itu antara aduan diterima daripada ahli yang berhadapan persaingan tidak seimbang daripada warga asing yang menjalankan perniagaan dengan cara tersebut.
“Kami menerima banyak aduan daripada ahli, terutama pengusaha kedai makan dan peruncitan, yang berhadapan persaingan tidak seimbang daripada warga asing yang tidak mematuhi syarat pelesenan serta percukaian,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Sementara itu, Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI) mengesan 21 kes penyalahgunaan visa atau pas lawatan untuk menjalankan aktiviti perniagaan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Setiausahanya Mohd Azman Ghazali berkata dari Januari hingga Mei, pihaknya melaksanakan tiga operasi penguatkuasaan, mengeluarkan 21 kompaun dan menutup tiga premis kerana melanggar peraturan perniagaan.
Beliau berkata antara bidang yang paling kerap dikesan melibatkan warga asing ialah peruncitan, penjaja, kedai makan dan pembinaan selain terlibat mengutip sedekah di kawasan awam.
Mohd Azman berkata MDKPI memandang serius penglibatan warga tempatan yang membantu atau memudahkan aktiviti itu dengan tindakan boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang serta syarat pelesenan yang ditetapkan.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati sebelum membenarkan nama atau lesen mereka digunakan pihak lain kerana berisiko menanggung liabiliti termasuk kompaun, cukai dan tindakan undang-undang jika berlaku pelanggaran syarat.
Beliau turut mencadangkan supaya pemantauan diperhebat dan kerjasama antara agensi berkaitan serta komuniti perniagaan diperkukuh bagi mengekang aktiviti berkenaan.
Pada 12 Jun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pelarian Rohingya di Malaysia supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan tempatan atau berhadapan dengan tindakan tegas.
Beliau berkata walaupun Malaysia mengambil pendekatan berperikemanusiaan, golongan itu tetap tertakluk kepada sistem perundangan negara termasuk dalam aspek penggunaan premis bangunan dan pengendalian perniagaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial