EKONOMI

Lonjakan Malaysia Dalam Ranking Daya Saing Dunia Bukti Kekukuhan Asas Ekonomi Negara

19/06/2026 12:24 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Lonjakan kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia 2026 oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) mencerminkan pengukuhan asas ekonomi negara.

Menurut ahli ekonomi, pencapaian itu disokong oleh daya saing perdagangan yang tinggi, peningkatan kecekapan kerajaan dan perniagaan serta pertumbuhan peluang dalam sektor teknologi.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata peningkatan Malaysia kepada kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi pada 2026 berbanding kedudukan ke-23 sebelum ini merupakan petunjuk yang memberangsangkan kerana mencerminkan lebih daripada sekadar pemulihan pertumbuhan jangka pendek.

“Ledakan kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor jelas menjadi pendorong penting. Malaysia berkedudukan baik dalam rantaian bekalan elektrik dan elektronik serta pembungkusan termaju dan pelaburan pusat data.

“Ini menjadikan Malaysia sebagai penerima manfaat semula jadi daripada pempelbagaian rantaian bekalan global,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata sektor pelancongan turut menyokong daya saing negara menerusi peningkatan ketibaan pelancong dan terimaan perbelanjaan dalam sektor perkhidmatan yang tinggi, manakala kestabilan politik serta persekitaran dasar yang lebih boleh dijangka terus mengukuhkan keyakinan pelabur.

“Mesej secara keseluruhannya ialah Malaysia semakin diyakini sebagai hab serantau bagi pelaburan teknologi, pembuatan dan perkhidmatan,” katanya.

Beliau mengingatkan dengan berkata cabaran utama adalah untuk menterjemahkan momentum semasa kepada peningkatan produktiviti yang mampan, inovasi lebih kukuh, pembangunan kemahiran yang lebih baik serta pelaburan domestik bernilai tinggi, bukan sekadar bergantung kepada kitaran semikonduktor global yang menggalakkan.

Ketua Ahli Ekonomi Global, Juwai IQI, Shan Saeed pula menyifatkan peningkatan kedudukan Malaysia itu sebagai antara pencapaian daya saing paling memberangsangkan dalam kalangan ekonomi utama dunia.

Beliau berkata keupayaan Malaysia menggabungkan peningkatan daya saing dengan kestabilan makroekonomi kekal sebagai antara kekuatan negara yang kurang diberi perhatian dalam ASEAN, walaupun menghadapi persekitaran global yang semakin berpecah-belah.

Beliau berkata trajektori Malaysia yang meningkat mencerminkan sebuah ekonomi yang terus memperkukuh kapasiti produktif, meningkatkan keyakinan pelabur serta melonjakkan kerelevanan strategik negara dalam ekonomi global.

“Asas yang menyokong kemajuan ini sangat kukuh. Ekonomi Malaysia kini melebihi RM2 trilion manakala pasaran modal mencapai rekod RM4.3 trilion bersamaan 210 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Ini menjadikan Malaysia sebagai antara pasaran modal paling kukuh dan sofistikated dalam kalangan ekonomi yang sedang pesat membangun,” katanya.

Shan berkata kepimpinan Malaysia dalam kewangan Islam, sistem perbankan yang berdaya tahan, infrastruktur berkelas dunia serta penyepaduan kukuh dengan rantaian nilai global merangkumi semikonduktor, elektronik, pembuatan termaju dan perkhidmatan bernilai tinggi turut menjadi kekuatan struktur yang berterusan dalam menyokong pelaburan jangka panjang serta daya tahan ekonomi.

Selain itu, lokasi strategik Malaysia dalam ASEAN meningkatkan daya tarikannya ketika syarikat multinasional mempelbagaikan rantaian bekalan dan meningkatkan pelaburan dalam AI, semikonduktor, infrastruktur digital, pembuatan termaju serta peralihan tenaga.

Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ranking IMD yang dicatatkan Malaysia tahun ini membuktikan usaha memperkukuh kecekapan dan menambah baik pelaksanaan dasar terus membuahkan hasil.

Beliau berkata Malaysia terus melakar kemajuan dalam ranking daya saing global dan pencapaian tersebut menunjukkan tumpuan kerajaan terhadap peningkatan kecekapan manakala komitmen terus berada pada landasan yang tepat.

Ranking IMD dinilai berdasarkan empat teras utama iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur.

Menurut IMD, pengukuhan dalam semua teras tersebut menjadi faktor utama yang mendorong peningkatan kedudukan Malaysia tahun ini.

Malaysia menyerlah dengan menduduki tempat keempat dunia bagi prestasi ekonomi, manakala kecekapan kerajaan meningkat 11 anak tangga ke kedudukan ke-14.

Kecekapan perniagaan turut mencatat lonjakan ketara sebanyak 16 anak tangga ke tempat ke-16, sementara infrastruktur bertambah baik dua anak tangga ke kedudukan ke-33.

Malaysia menunjukkan peningkatan konsisten dalam ranking daya saing sejak tiga tahun lepas, iaitu daripada kedudukan ke-34 pada 2024 kepada ke-23 pada 2025 dan seterusnya ke tangga ke-15 pada tahun ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan