EKONOMI

Harga MSM Dijangka RM4,400 Hingga RM4,650 Satu Tan Pada Julai 2026 - MPOC

19/06/2026 11:25 AM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka didagangkan dalam julat RM4,400 hingga RM4,650 satu tan pada Julai ini, disokong oleh prospek bekalan yang kian terhad di Indonesia serta peningkatan risiko El Nino, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

Dalam kenyataan hari ini, MPOC memaklumkan walaupun ladang-ladang sawit di Malaysia dan Indonesia belum terjejas setakat bulan ini, kemungkinan besar berlakunya fenomena El Nino yang lebih kuat pada Julai atau Ogos kini semakin ketara.

“El Nino yang ketara ini boleh mengurangkan taburan hujan serta menyebabkan keadaan cuaca lebih kering di serata Asia Tenggara, Australia dan India. Namun, kesannya terhadap hasil dan pengeluaran minyak sawit hanya dapat dilihat pada tempoh selepas sembilan hingga 12 bulan,” menurutnya.

MPOC turut memaklumkan, pengeluaran minyak sawit Malaysia susut sebanyak 6.9 peratus bulan ke bulan kepada 1.51 juta tan pada Mei 2026.

“Sebahagian daripada punca penyusutan itu adalah disebabkan faktor pokok sawit yang memasuki fasa rehat sementara selepas mencatat pengeluaran lebih tinggi daripada dijangkakan pada Oktober 2025 hingga Mac 2026 lepas.

“Selain itu, terdapat dua cuti umum pada Mei berbanding tiada langsung pada April yang menyebabkan jumlah hari tuaian berkurangan.”

Pada masa sama, MPOC menyatakan penurunan angka eksport pada Mei lepas juga sememangnya dijangkakan berikutan aktiviti pembelian lebih menyederhana pada Mac dan April di tengah-tengah ketidaktentuan harga ketara yang diunjur menyebabkan penghantaran lebih rendah pada Mei dan Jun.

“Di sebalik penurunan bulanan itu, jumlah eksport terkumpul bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 meningkat sebanyak 783,000 tan atau 13.8 peratus.

“Peningkatan terbesar dicatatlan bagi eksport ke India, Kenya dan Vietnam yang keseluruhannya meningkat sebanyak 749,000 tan.”

Menurut MPOC, rantau sub-Sahara Afrika dan ASEAN kekal sebagai pasaran pertumbuhan penting bagi minyak sawit Malaysia dengan tempoh lima bulan pertama 2026 menyaksikan dua rantau ini menyumbang sebanyak 36 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport minyak sawit Malaysia berbanding 25 peratus pada 2022.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan