POLITIK

PRN: Senarai Calon PKR Johor, Negeri Sembilan 99 Peratus Muktamad

19/06/2026 01:10 PM

JOHOR BAHRU, 19 Jun (Bernama) -- Senarai calon PKR bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan kini 99 peratus muktamad, kata Setiausaha Agungnya Datuk Dr Fuziah Salleh.

Beliau berkata parti itu akan bertanding di 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor dan 16 kerusi di Negeri Sembilan, manakala pengumuman rasmi calon dijangka dibuat dalam tempoh beberapa hari lagi.

"Kita akan menampilkan gandingan seimbang antara muka lama dan baharu, termasuk wanita dan anak muda. Mengenai peratusan muka baharu, tunggu hari pengumuman nanti," katanya kepada pemberita selepas hadir Program Jualan Rahmah di Econsave Taman Daya, di sini hari ini.

Mengulas mengenai tuntutan Amanah Johor terhadap DUN Puteri Wangsa, Fuziah berkata isu pertikaian kerusi berkenaan telah diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan tertinggi parti komponen untuk diselesaikan.

Sebelum ini, Naib Pengerusi Amanah Johor Dr Zuhan Zain  tidak bersetuju kerusi berkenaan diserahkan kepada PKR yang menyatakan kerusi itu milik mereka selepas dipinjamkan kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pada PRN 2022.

“Itu (dakwaan kerusi milik mereka) adalah tuntutan daripada Amanah Johor, namun perkara ini akan diselesaikan di peringkat paling tertinggi," katanya.

Menyentuh status tindakan terhadap Ahli Parlimen Subang Wong Chen yang mencabar PKR memecat dirinya susulan siasatan disiplin, Fuziah berkata perkara tersebut telah diserahkan kepada Lembaga Disiplin parti untuk tindakan lanjut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Johor pada 27 Jun ini, manakala hari pengundian pula pada 11 Julai selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 1 Jun lepas.

DUN Johor mempunyai 56 kerusi dan sebelum pembubaran, Barisan Nasional (BN) menguasai 40 kerusi diikuti Pakatan Harapan (PH) (12), Perikatan Nasional (PN) (tiga) manakala MUDA (satu).

Sementara itu, PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada 1 Ogos ini dengan tarikh penamaan calon pada 18 Julai dan 28 Julai bagi pengundian awal.

DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dibubarkan pada 5 Jun lepas dan sebelum pembubaran, PH menguasai 17 kerusi, BN (14) manakala PN (lima).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan