KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- CIMB Bank Bhd menawarkan pakej pembiayaan kereta baharu kepada pembeli kereta kali pertama menerusi program “First Car Solution”, yang merangkumi kadar pembiayaan kompetitif, perlindungan insurans atau takaful serta kemudahan kad kredit CIMB.
Program itu direka khusus untuk membantu pelanggan berumur 18 hingga 30 tahun mengurus kewangan melalui pilihan pembiayaan dan perlindungan yang disesuaikan.
Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu berkata pembeli kereta kali pertama akan menikmati pembaharuan cukai jalan percuma selama dua tahun, bernilai RM240, menjadikan CIMB bank pertama di Malaysia menawarkan kemudahan nilai tambah tersebut.
“Kadar pembiayaan yang kompetitif menjadikan proses pembelian kereta lebih mudah dan mampu milik,” menurut kenyataan itu.
Perlindungan insurans dan takaful di bawah pembiayaan bancatakaful menyediakan perlindungan terhadap kejadian tidak dijangka seperti kemalangan dan situasi kehidupan lain yang boleh menjejaskan komitmen kewangan peminjam, pada kos yang minimum.
Antara manfaat utama program itu ialah bayaran penuh harga pembelian kenderaan sekiranya berlaku kerugian menyeluruh (total loss), menerusi insurans Purchase Price GAP (PPG).
PPG akan menampung perbezaan antara bayaran pampasan insurans motor dan harga asal pembelian kenderaan.
Program itu mencerminkan ikrar jenama bank, “Moving You Forward” yang bertujuan memberi akses dan peluang kepada pelanggan untuk mencapai matlamat kewangan jangka panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Malaysia dan CIMB Bank Bhd, Gurdip Singh Sidhu berkata program itu mencerminkan pendekatan pinjaman bertanggungjawab CIMB dengan memasukkan ciri-ciri yang membantu mengurangkan tekanan kos pemilikan kereta seperti cukai jalan dan perlindungan insurans.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB Group, Haniz Nazlan berkata program tersebut adalah untuk membantu pembeli merancang kesejahteraan kewangan jangka panjang mereka.
“Dengan menggabungkan manfaat gaya hidup dan pelan perlindungan, kami membantu generasi baharu membina daya tahan kewangan serta membuat pilihan kewangan yang mampan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial