KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Perikatan Nasional (PN) menegaskan sebarang aktiviti mahupun mesyuarat yang menggunakan nama gabungan itu tidak boleh dilaksanakan tanpa keizinan pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan berkata ia susulan maklum balas rasmi yang diterima daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dalam satu surat bertarikh hari ini (19 Jun 2026) berhubung urusan pentadbiran dan pengurusan parti.
Beliau berkata PN menerima surat daripada ROS yang mengesahkan penerimaan Minit Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN bertarikh 22 Feb 2026 serta mengambil maklum mengenai kelulusan Majlis Tertinggi terhadap peletakan jawatan Pengerusi PN dan pelantikan Pengerusi baharu gabungan itu.
“(Surat itu juga) mengesahkan penerimaan salinan Minit Mesyuarat Majlis Tertinggi (Bil. 1 2026) bertarikh 14 Mac 2026 dan senarai kepimpinan serta pelantikan ahli jawatankuasa Majlis Tertinggi PN baharu untuk direkodkan oleh pihak ROS,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata PN kekal komited dalam memastikan segala aktiviti, urusan pentadbiran dan pengurusan parti dilaksanakan mengikut perlembagaan parti serta mematuhi Akta 832.
Terdahulu, media melaporkan satu mesyuarat Majlis Tertinggi PN dijadual berlangsung malam ini susulan penularan poster menerusi media sosial yang memaparkan imej Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Poster berkenaan mendakwa mesyuarat itu akan diadakan pada 8 malam di ibu pejabat Bersatu dan dipengerusikan oleh Muhyiddin, namun Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan perkara itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial