Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 19 Jun (Bernama) -- Pasukan polis ASEAN meningkatkan pengawasan, perkongsian risikan dan kerjasama rentas sempadan bagi membanteras penipuan dalam talian yang semakin berleluasa ketika sindiket jenayah siber memperluas operasi mereka merentasi sempadan.
Agensi risikan memberi amaran bahawa sindiket penipuan rentas negara kini memindahkan operasi mereka ke lokasi baharu seperti Laos dan Sri Lanka susulan tekanan penguatkuasaan yang semakin meningkat di pusat operasi penipuan tradisional di rantau ini.
Polis serantau atau ASEANAPOL sedang membangunkan kurikulum latihan praktikal bagi memperkukuh tindak balas kolektif ASEAN terhadap penipuan dalam talian dan penipuan yang dipermudah teknologi siber, menurut organisasi itu menerusi Facebook pada Khamis.
“Ketika sindiket penipuan dalam talian terus memperluas operasi merentas sempadan dengan mengeksploitasi platform digital, sistem kewangan dan komuniti yang terdedah di seluruh rantau ini, agensi penguatkuasaan undang-undang ASEAN berdepan keperluan yang semakin mendesak untuk menyelaras tindak balas operasi dan meningkatkan keupayaan siasatan,” menurut ASEANAPOL.
ASEANAPOL mengadakan Bengkel Pembangunan Kurikulum Latihan Operasi Membanteras Penipuan di Semarang, Indonesia dari 15 hingga 17 Jun, yang menyaksikan persetujuan dicapai mengenai langkah tegas untuk menangani ancaman itu.
Menurut ASEANAPOL, bidang tumpuan utama termasuk siasatan berasaskan risikan, siasatan kewangan dan pengesanan aset, pengumpulan bukti digital, analisis penipuan dalam talian, penyelarasan rentas sempadan, pengenalpastian dan perlindungan mangsa serta kerjasama awam-swasta.
Kerajaan di seluruh rantau ini sedang berusaha menumpaskan pusat penipuan yang telah berkembang menjadi rangkaian jenayah canggih yang memperdaya mangsa di seluruh dunia sehingga menyebabkan kerugian berbilion dolar.
Pasukan keselamatan di Kemboja dan Myanmar, yang dikenali sebagai pusat utama industri penipuan, sedang berusaha menghapuskan sindiket yang menjalankan penipuan dalam talian dan perjudian haram dalam talian.
Kerajaan Kemboja telah menahan kira-kira 200,000 pekerja haram yang terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian.
Myanmar pula mengusir kira-kira 70,000 warga asing yang terbabit dalam kegiatan jenayah dari 2023 hingga 2025 serta merobohkan puluhan bangunan yang digunakan sebagai pusat penipuan, menurut Kementerian Dalam Negeri negara itu.
Polis Sri Lanka menahan hampir 700 individu yang terlibat dalam jenayah siber pada tahun ini, menurut media tempatan.
Sindiket berkenaan berpindah ke lokasi baharu yang sebahagian besarnya didorong oleh dasar visa yang mudah, infrastruktur Internet yang baik, jaringan penerbangan yang semakin meluas serta kemudahan memindahkan dana haram merentasi sempadan.
Menurut anggaran kerajaan Amerika Syarikat, rakyat negara itu mengalami kerugian sekurang-kurangnya US$10 bilion (RM40 bilion) akibat operasi penipuan yang berpangkalan di Asia Tenggara pada 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial