KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 dengan mata indeks mengalami kenaikan kepada 137.1 daripada 134.4 berbanding tahun lepas, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mengetengahkan empat kumpulan dalam laporan bersempena dengan pengeluaran Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Mei 2026.
Beliau berkata maklumat dan komunikasi menyaksikan peningkatan sehingga 2.1 peratus berbanding 2.0 peratus pada April 2026.
Katanya, makanan dan minuman yang menyumbang sebanyak 29.8 peratus kepada jumlah wajaran IHP, meningkat 1.4 peratus berbanding 1.2 peratus sebulan lepas.
Sementara itu, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain meningkat 1.2 peratus berbanding 1.1 peratus pada bulan sebelumnya, dan rekreasi, sukan serta budaya berada pada 1.1 peratus berbanding 0.9 peratus sebelumnya, yang disumbangkan oleh inflasi dalam subkumpulan penyelenggaraan, pembaikan dan keselamatan kediaman.
DOSM turut menyatakan bahawa kadar pelarasan kos bahan api secara automatik (AFA) yang disemak semula telah dikenakan ke atas pengguna domestik di Semenanjung Malaysia apabila menggunakan lebih 600 kilowatt jam (kwh).
Suruhanjaya Tenaga menetapkan kadar AFA bagi 1-31 Mei 2026 pada 1.38 sen/kwh (surcaj) berbanding rebat 0.47 sen/kwh bagi 1-30 April 2026.
“Pelarasan ini memberi kesan kepada tarif elektrik purata berbanding tempoh sebelumnya. Pengguna domestik yang menggunakan 600 kwh dan ke bawah kekal tidak terjejas,” tambahnya.
Dalam pada itu, inflasi pengangkutan menyederhana pada 3.8 peratus berbanding 4.1 peratus berbanding bulan sebelumnya; perkhidmatan penginapan dan restoran pula 2.5 peratus, sedikit menurun berbanding 2.6 peratus pada April 2026.
Menurut laporan itu, inflasi pendidikan adalah 2.2 peratus berbanding 2.4 peratus pada April 2026, dan kesihatan adalah pada 1.2 peratus berbanding 1.4 peratus sebulan lepas.
DOSM juga berkata 63.5 peratus daripada barangan (364 daripada 573 barang) merekodkan kenaikan harga.
“Bagaimanapun, daripada jumlah itu, sebanyak 355 barangan (97.5 peratus) mencatatkan peningkatan kurang atau sama dengan 10 peratus, manakala sembilan barangan merekodkan kenaikan lebih 10 peratus pada bulan Mei,” kata DOSM.
Baki 167 barangan (29.1 peratus) menunjukkan penurunan dan 42 barangan pula tidak berubah.
Dalam bidang bahan api, purata harga petrol tanpa plumbum RON97 pada Mei 2026 turun kepada RM4.81 seliter berbanding RM5.06 pada bulan sebelumnya.
Purata harga diesel di Semenanjung Malaysia ialah RM5.01 seliter berbanding RM5.92 pada April 2026.
Bagi Sabah, Sarawak dan Labuan, ia kekal pada RM2.15 seliter.
Selain itu, purata harga pasaran petroleum tanpa plumbum RON95 ialah RM3.97 seliter berbanding RM4.00 pada April 2026. Harga subsidi ialah RM1.99 seliter.
Mengenai inflasi peringkat negeri, Mohd Uzir berkata mereka yang mengalami peningkatan melebihi paras nasional 2.0 peratus ialah Pahang (2.8 peratus), Negeri Sembilan (2.6 peratus), Labuan (2.6 peratus), Johor (2.5 peratus), Kuala Lumpur (2.4 peratus), Kedah (2.2 peratus), Putrajaya (2.2 peratus ) dan Melaka (2.2 peratus).
Selebihnya, mencatatkan peningkatan di bawah atau sama dengan kadar inflasi negara dengan Sarawak berada pada paras terendah iaitu 0.5 peratus pada Mei 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial