KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) menganugerahkan Anugerah Presiden kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming atas usaha penyelarasan strategik, penglibatan dasar dan kerjasama struktur antara kementerian dan penggiat seni bina untuk memajukan rangka kerja persekitaran binaan negara.
PAM dalam satu kenyataan memaklumkan anugerah itu, yang disampaikan semasa majlis makan malam tahunan institut tersebut di sebuah hotel di sini semalam, merupakan penghargaan berprestij yang dikhaskan untuk individu bukan arkitek yang telah memberikan sumbangan kepada PAM dan industri pembinaan negara.
"Tahun ini, Institut mengiktiraf kementerian yang dicirikan oleh kemajuan dasar yang progresif, dialog terbuka industri dan komitmen untuk mengintegrasikan piawaian reka bentuk yang kompetitif dalam pemerolehan sektor awam.
"Di bawah kepimpinan beliau, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah bekerjasama dengan pihak berkepentingan industri untuk memperhalusi piawaian profesional, menyokong transformasi digital dan melaksanakan penambahbaikan struktur di seluruh sektor," menurut kenyataan itu.
PAM mengetengahkan lima tonggak pentadbiran dan teknikal utama yang menyokong pengiktirafan tersebut, termasuk mengutamakan kecemerlangan reka bentuk melalui pertandingan seni bina untuk bangunan awam, terutamanya dalam usaha memulihkan pasar awam.
Menurut kenyataan itu, setakat ini, 10 pertandingan reka bentuk pasar awam telah dianjurkan, dengan enam dikendalikan oleh pihak berkuasa tempatan dan empat dikendalikan oleh PAM.
Tonggak lain yang diketengahkan termasuk menyokong integrasi digital dan memperkukuh amalan profesional; kerjasama berterusan antara PAM dan agensi kerajaan; sokongan berterusan untuk platform industri utama seperti Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan Antarabangsa (ARCHIDEX) dan Festival Seni Bina Kuala Lumpur (KLAF); dan menggalakkan perundingan profesional dan pengurusan dasar.
Antara penerima anugerah itu sebelum ini ialah penulis utama Handbook for PAM Contract 2006 Low Khian Seng (2009), Pengarah One Utama Sdn Bhd Tan Seri Teo Chiang Kok (2010), dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (2015).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial