PUTRAJAYA, 19 Jun (Bernama) -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memperluas kerjasama akademik dengan Uzbekistan menerusi dua memorandum persefahaman (MoU) untuk memperkasakan lagi agenda pengantarabangsaan dan penyelidikan.
UKM dalam satu kenyataan memaklumkan MoU itu dijangka dapat membuka lebih banyak peluang mobiliti pelajar, pertukaran akademik dan penyelidikan berkaitan tamadun Islam antara kedua-dua negara.
Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Sufian Jusoh berkata MoU berkenaan melibatkan penyambungan kerjasama dengan Islamic Civilisation Center in Uzbekistan (ICCU) serta kolaborasi baharu bersama Imam Maturidi International Scientific Research Center untuk tempoh lima tahun.
"Kerjasama tersebut akan memberi tumpuan kepada program mobiliti pelajar, pertukaran akademik dan penyelidikan bersama.
"Selain mengukuhkan hubungan akademik Malaysia-Uzbekistan, kerjasama tersebut turut memperluas peluang pertukaran pelajar antarabangsa serta perkongsian kepakaran dalam bidang kesarjanaan Islam,” katanya dalam kenyataan itu yang dikeluarkan bersempena dengan lawatan UKM ke negara tersebut.
Sufian berkata kerjasama akademik itu bukan sahaja mengangkat martabat kesarjanaan Islam di persada global, malah membuka ruang luas buat warga UKM dan institusi di Uzbekistan untuk meneroka inovasi dalam penyelidikan rentas disiplin yang relevan dengan cabaran kontemporari.
Bersempena dengan lawatan itu, delegasi UKM turut mengunjungi galeri ICCU bagi meninjau koleksi manuskrip dan khazanah sejarah tamadun Islam dari Asia Tengah.
Lawatan tersebut turut memberi pendedahan kepada UKM mengenai penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) diaplikasikan secara praktikal bagi memelihara, menganalisis dan memartabatkan warisan sejarah warisan dunia dalam konteks zaman moden.
Semasa lawatan itu UKM turut mengadakan pertemuan bersama Ketua Jabatan Institusi Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Sains dan Inovasi Uzbekistan Dr Mamanazarov Abdusamat Abdusaitovich.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial