SUKAN

Beasley Pengarah Teknikal PKBM Hingga Tamat Kontrak - Presiden

19/06/2026 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Pengarah Teknikal Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) John Beasley kekal memegang jawatan itu sehingga kontraknya berakhir pada penghujung Januari 2027, kata Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill.

Beliau berkata laporan yang mendakwa jurulatih Australia itu telah meletakkan jawatan adalah tidak tepat kerana Beasley hanya menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan tersebut selepas menamatkan kontrak semasanya.

“Beliau (Beasley) masih lagi pengarah teknikal PKBM dan tidak meletak jawatan dan terus memegang jawatan itu sehingga ke satu tempoh masa yang akan ditetapkan.

“Saya mahu menjelaskan perkara ini kerana banyak kekeliruan kepada orang ramai di media sosial yang memberi gambaran seperti beliau telah meletak jawatan serta-merta. Ini tidak benar,” katanya pada sidang media khas PKBM di sini hari ini.

Amarjit berkata hasil perbincangan dengan Beasley pada dua hari lepas, kedua-dua pihak bersetuju bahawa fokus utama ketika ini ialah memastikan persiapan atlet negara menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia tidak terjejas.

Beliau berkata Beasley juga memberi jaminan akan terus menyokong program kebangsaan sepanjang tempoh peralihan selain membantu memastikan kesinambungan dan kestabilan program yang telah dirancang.

“Yang penting kita setuju fokus utama adalah tidak mahu mengganggu atlet kita. Kita tahu kebanyakan atlet mempunyai hubungan yang sangat dekat dengan Beasley dan semua perkara ini mungkin menjejaskan persiapan mereka dan kita tidak mahu membiarkan ia berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Amarjit berkata PKBM menghormati sepenuhnya pandangan serta hak Beasley membuat keputusan mengenai masa depannya dan menyifatkan beliau sebagai individu yang berperanan besar dalam pembangunan sukan berbasikal negara sepanjang 21 tahun perkhidmatannya di Malaysia.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan jurulatih berusia 65 tahun itu terus bersama-sama skuad kebangsaan dalam kapasiti lain selepas ini, khususnya jika jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang meneruskan kempen ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Selain itu, Amarjit berkata PKBM telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada seorang individu yang dikenal pasti terlibat dalam usaha mewujudkan pergeseran antara persekutuan itu dengan Beasley manakala tindakan sama terhadap seorang lagi individu sedang dipertimbangkan.

“Kami telah menerima jawapan daripada individu tersebut dan sedang menentukan tindakan selanjutnya,” katanya dan menambah mereka telah mengetahui tentang perkara itu dari awal, sebelum ia menjadi lebih besar pada April lepas.

Beliau berkata PKBM tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba menimbulkan konflik atau menyebarkan dakwaan melalui saluran tidak rasmi yang seharusnya perlu disalurkan mengikut prosedur yang ditetapkan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan