KUANTAN, 19 Jun (Bernama) -- Tujuh individu termasuk seorang pemandu dan tiga pegawai media kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 144.2, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Maran awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Maran Superintenden Wong Kim Wai berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira 1 pagi, apabila sebuah lori Foton dipercayai menukar haluan ke lorong kanan secara tiba-tiba, menyebabkan pemandu Toyota Fortuner dalam perjalanan ke Kuala Lumpur tidak sempat mengelak, lalu melanggar bahagian sisi kanan lori berkenaan.
“Sebuah lagi lori Hicom yang berada di belakang cuba mengelak kemalangan itu, namun terbabas sebelum melanggar besi penghadang jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat kemalangan itu, beliau berkata tujuh mangsa yang menaiki ketiga-tiga kenderaan berkenaan mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Jengka untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Wong berkata kes disiasat mengikut Kaedah 6 (1), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
Sementara itu, Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook memaklumkan kesemua mangsa yang terlibat dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Himpunan Huffaz Negeri Pahang 2026 di Yayasan Pahang di sini malam tadi.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana kesemua mereka selamat dan tidak mengalami kecederaan serius.
“Kepada semua yang sedang bertugas, jagalah diri sebaiknya. Rehat secukupnya, pandu kenderaan dengan berhati-hati dan sentiasalah mengutamakan keselamatan walau sesibuk mana sekalipun.
“Semoga mereka yang terlibat segera pulih sepenuhnya dan semoga kita semua sentiasa dipelihara Allah SWT, walau di mana-mana pun kita berada,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial