AM

Tiga Bayi Antara 20 Mangsa Terselamat Dalam Kejadian Kepala Air Di Gopeng 

20/06/2026 12:13 AM

IPOH, 19 Jun (Bernama) -- Sebanyak 20 penduduk termasuk tiga bayi dan seorang wanita mengandung terselamat dalam kejadian kepala air di Kampung Ulu Geruntum, Kuala Razila, Gopeng petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 5.29 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng digerakkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata laporan awal memaklumkan berlaku kejadian kepala air di lokasi berkenaan sehingga mengakibatkan jambatan yang digunakan oleh penduduk kampung Orang Asli runtuh.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, ketua operasi mendapat maklumat terdapat 20 orang mangsa yang terdiri daripada empat kanak-kanak lelaki, dua warga emas (seorang lelaki dan seorang wanita), lima lelaki dewasa, sembilan wanita dewasa termasuk seorang yang sedang mengandung serta tiga bayi. 

“Kesemua mangsa terperangkap di rumah masing-masing dan berada dalam keadaan selamat serta mereka memaklumkan bekalan makanan juga mencukupi,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sementara itu, Sabarodzi berkata sebanyak 30 mangsa lagi yang keluar bekerja tidak dapat pulang ke rumah masing-masing akibat jambatan runtuh dan mereka ditawarkan untuk menginap di Gopeng Highlands Resort sementara menunggu keadaan kembali reda.

Beliau berkata cuaca masih lagi hujan renyai-renyai dan keadaan air sungai masih tinggi dan berarus deras serta ketua operasi juga memaklumkan talian telefon dan Rangkaian Trunk Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) mengalami gangguan ketika di lokasi kejadian.

“Tindakan operasi melalui perbincangan bersama dengan pihak polis, pegawai daerah, pegawai dari Jabatan Kemajuan Orang Asli, ketua kampung, ketua balai BBP Gopeng dan pegawai Angkatan Pertahanan Malaysia bersetuju menempatkan penduduk yang tidak dapat pulang ke rumah di resort berhampiran untuk sementara waktu dan membuat pemantauan berkala bagi meninjau keadaan semasa. 

“Operasi melibatkan enam anggota BBP Gopeng dengan bantuan beberapa agensi berkaitan berjaya dikawal sebelum ditamatkan pada 8.55 malam,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan