AM

Fahmi Cadang Sesi Permukiman Media Pada Setiap Edisi Sambutan HAWANA

20/06/2026 01:05 PM

BUTTERWORTH, 20 Jun (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mencadangkan sesi permukiman bersama pengamal media diadakan pada setiap edisi penganjuran sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang akan datang.

Beliau berkata pihaknya akan meminta Majlis Media Malaysia (MMM) untuk menyelaraskan penganjuran permukiman berkenaan bagi memastikan kelancarannya.

“Sesi itu nanti akan berperanan untuk kita mengumpulkan maklum balas, pandangan, dapatan, cadangan daripada industri untuk disampaikan kepada pihak kerajaan.

“Cadangan itu sama ada bersifat dasar atau pindaan kepada akta dan undang-undang, termasuklah terkait isu-isu yang mungkin berkaitan dengan kelangsungan, kemampanan industri media itu sendiri,” katanya.

Fahmi berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi Dialog Menteri Komunikasi Bersama Media bersempena sambutan HAWANA 2026, di sini, hari ini.

Hadir sama pada sesi yang berlangsung hampir dua jam itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Pengerusi Majlis Media Malaysia Tan Sri Nallini Pathmanathan serta pengurusan tertinggi syarikat media tempatan

Mengulas lanjut, Fahmi berkata antara cabaran utama industri ketika ini ialah berkaitan ekonomi, terutamanya mengenai isu kandungan dihasilkan media arus perdana di platform media sosial yang tidak memberikan sebarang pulangan atau keuntungan.

“Saya harap Majlis Media Malaysia boleh mengadakan perbincangan dengan platform media sosial. Di pihak kerajaan, kami bersedia untuk membantu dalam proses berkaitan,” katanya.

--  BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan