BUTTERWORTH, 20 Jun (Bernama) -- Kesukaran memperkenalkan jenama kek sendiri ke pasaran lebih luas antara cabaran utama dihadapi seorang usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dari Sungai Petani, Kedah, ketika memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di rumah, 16 tahun lepas.
Namun, penyertaannya dalam program RIUH sejak dua tahun lepas mengubah segalanya apabila jenama produk beliau, Cake Perhaps mula dikenali pelanggan di luar Kedah.
Noor Azrina Ishak, 42, berkata sebelum itu, perniagaannya hanya diusahakan secara sambilan bagi menambah pendapatan keluarga.
“Saya dulu bekerja sebagai pegawai bank tetapi terpaksa tinggalkan kerjaya demi menjaga bapa yang uzur dan anak lelaki saya yang disahkan menghidap autisme serta gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD).
“Masa yang ada saya gunakan untuk membuat kek dan pastri secara kecil-kecilan. Namun apabila pandemik COVID-19 melanda, beberapa kafe yang menjadi pelanggan utama ditutup sehingga menjejaskan perniagaan saya,” katanya kepada Bernama.
Apabila pasaran semakin mengecil, Noor Azrina mengambil langkah menyertai program RIUH di Juru, Pulau Pinang pada 2024 bagi memperkenalkan produknya kepada kelompok pelanggan baharu.
“Mula-mula rasa kekok tetapi lama-kelamaan impaknya dapat dilihat terutamanya selepas saya menyertai acara jualan lain di sekitar Pulau Pinang. Pelanggan mula menyapa dan mengenali saya sebagai ‘akak yang dekat RIUH tu’,” katanya yang sekali lagi menyertai program berkenaan tahun ini sempena penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth di sini.
Beliau berkata dengan publisiti dan pendedahan jenama menerusi program itu, produknya kini berjaya menembusi pasaran lebih luas di Pulau Pinang dan wilayah utara.
Berikutan permintaan yang semakin meningkat, beliau kini mengendalikan sepenuhnya perniagaan Amazing Azrina Enterprise melalui sebuah dapur berpusat di Senja Food Place, Sungai Petani dibantu empat kakitangan.
“Produk yang dipasarkan juga semakin bertambah dan tidak lagi terhad kepada kek, malah merangkumi roti stim, keju batang, biskut coklat, tart mini dan kek cawan,” katanya.
Melangkah kehadapan, Noor Azrina berkata beliau bercadang memohon geran teknologi pengeluaran makanan daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memperoleh mesin pemprosesan yang lebih moden dan meningkatkan kapasiti pengeluaran.
Beliau turut berharap program RIUH dapat dianjurkan lebih kerap di wilayah utara bagi memberi peluang kepada lebih ramai usahawan tempatan mempromosikan produk mereka.
Sementara itu, peniaga produk kecantikan Nur Syasya Aqilah Abdullah, 18, berkata program berkenaan memberi peluang kepada usahawan tempatan berinteraksi secara langsung dengan pelanggan, sekali gus meningkatkan jualan.
“Bagi saya, penerangan produk secara bersemuka lebih menyeronokkan kerana kami dapat mengenal pasti bentuk wajah dan jenis solekan yang benar-benar sesuai dengan pelanggan.
“Ini penting kerana ramai pelanggan suka memilih tona komestik lebih cerah daripada warna kulit asal sedangkan padanan warna yang tepat penting untuk menghasilkan penampilan lebih natural,” katanya yang turut menjual produk kecantikan seperti bedak asas jenis kusyen, gincu, penggaris bibir, maskara serta aksesori seperti beg tangan menerusi akaun TikTok @brownskinbeaute.
Program RIUH Pi HAWANA anjuran MyCreative Ventures itu merupakan antara pengisian utama HAWANA 2026, bertujuan menyediakan platform promosi kepada usahawan kreatif tempatan selain merancakkan ekonomi komuniti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial