EKONOMI

Peroleh Telaga Gas Di Turkmenistan Cerminan Keyakinan Kepada Keupayaan Malaysia - PM Anwar

20/06/2026 01:31 PM

BATU KAWAN, 20 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kejayaan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memperoleh telaga gas antara yang terbesar dunia di Turkmenistan sebagai bukti jelas keyakinan negara luar terhadap keupayaan Malaysia, kestabilan politik negara ini serta profesionalisme syarikat tempatan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata perjanjian yang dimeterai dengan kerajaan Turkmenistan ketika lawatan beliau ke negara itu membolehkan Malaysia menerusi Petronas terlibat dalam pembangunan medan gas utama di negara yang memiliki antara rizab gas terbesar dunia.

“Ini menandakan keyakinan negara luar kepada kita, keamanan yang kita capai, perpaduan rakyat dan kesungguhan syarikat seperti Petronas, kegigihan golongan profesional bekerja dan komitmen untuk membangunkan negara. 

“Ini harus memberi rangsangan kepada kita (Malaysia) bahawa ruang terbuka luas, sekiranya kita fokus untuk mengangkat martabat dengan disiplin, kesungguhan dan secara positif membangunkan,” kata Anwar ketika merasmikan pembukaan MKS Instruments Malaysia Sdn Bhd di Bandar Cassia Technology Park, di sini hari ini.

Pemeteraian tersebut terjalin berikutan lawatan rasmi beliau ke Turkmenistan selama dua hari bermula 18 dan 19 Jun atas jemputan Presiden Serdar Berdimuhamedov yang juga sebagai membalas lawatan rasmi Berdimuhamedov ke Malaysia pada Disember 2024.

Lawatan itu adalah lawatan rasmi pertama Anwar ke Turkmenistan dan kali kelima oleh Perdana Menteri Malaysia.

Petronas memulakan operasi di Turkmenistan pada 1996 dan kemudian berkembang menjadi kerjasama berkekalan antara kedua-dua negara.

Dalam pada itu, Anwar turut mengalu-alukan kehadiran dan pengembangan operasi syarikat teknologi global di Malaysia, khususnya di Pulau Pinang, yang disifatkan beliau semakin diiktiraf sebagai hab utama industri semikonduktor dan teknologi tinggi di rantau ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan