EKONOMI

Setia Fontaines Industrial Park Pacu Pelaburan Teknologi Tinggi Di Pulau Pinang

20/06/2026 11:44 PM

KEPALA BATAS, 20 Jun (Bernama) -- SP Setia Bhd melakar satu lagi pencapaian dengan memulakan pembangunan Setia Fontaines Industrial Park di Bertam menerusi majlis pecah tanah hari ini, sekali gus memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan perindustrian yang bersedia untuk masa hadapan.

Majlis pecah tanah itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Bhd Datuk Zaini Yusoff berkata taman perindustrian seluas 509 ekar itu merupakan sebahagian daripada pembangunan Setia Fontaines berkeluasan 1,691 ekar, menawarkan lot perindustrian ringan, perindustrian sederhana dan komersial untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat multinasional. 

Beliau berkata pembangunan itu menyediakan ketersambungan kukuh ke Pulau Pinang, Bukit Mertajam, Seberang Jaya dan Kulim, dengan akses terus ke Lebuhraya Utara-Selatan.

“Setia Fontaines Industrial Park memaparkan visi Kumpulan untuk membangunkan hab ekonomi generasi akan datang dengan infrastruktur bertaraf dunia untuk pembuatan termaju, infrastruktur digital dan industri teknologi tinggi di Wilayah Utara.

"Pembangunan ini juga mencerminkan keupayaan SP Setia dalam menterjemahkan aspirasi nasional kepada hasil yang nyata,” katanya pada majlis itu. 

Terdahulu, majlis itu turut menyaksikan pertukaran Memorandum Kerjasama (MOC) antara Setia Fontaines dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang diwakili Ketua Eksekutifnya Datuk Mohamad Haris Kader Sultan bagi meneroka penyediaan akses kepada tenaga elektrik hijau di Setia Fontaines Industrial Park.

Zaini berkata melalui kerjasama itu, kedua-dua pihak akan meneliti inisiatif seperti Program Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) bagi menyediakan akses kepada bekalan elektrik hijau melalui grid nasional yang disokong oleh pemaju tenaga boleh baharu serantau.

Kerjasama ini turut mencerminkan komitmen SP Setia dalam memajukan pembangunan perindustrian mampan, menyokong aspirasi rendah karbon Malaysia serta meningkatkan daya tarikan Pulau Pinang kepada pelabur bernilai tinggi.

“Permintaan terhadap pembangunan perindustrian kini semakin dipacu oleh keperluan kemampanan para penyewa. Justeru kerjasama ini mencerminkan komitmen Setia untuk mengintegrasikan elemen kemampanan dalam strategi perindustrian kami, sambil meningkatkan daya saing jangka panjang dan penciptaan nilai,” katanya.

 

Sementara itu, Mohamad Haris berkata  Zon Ekonomi Tenaga Boleh Baharu Khas (SREEZ) di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) direka sebagai ekosistem dipacu permintaan yang mengintegrasikan bekalan tenaga boleh baharu dengan permintaan industri bagi menyokong pelaburan hijau. 

"Kerjasama dengan SP Setia meletakkan Setia Fontaines Industrial Park sebagai pengguna utama tenaga hijau, sekali gus meningkatkan daya tarikan NCER sebagai hab pertumbuhan industri mampan serta menyokong kemasukan pelaburan yang memerlukan tenaga rendah karbon," katanya.

Majlis itu turut menyaksikan pertukaran Memorandum Perjanjian (MOA) antara Setia Fontaines Sdn Bhd dan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Khairulnizam Hashim bagi pembangunan Projek Pangsapuri Pinang Setia yang merangkumi 640 unit rumah mampu milik.

Projek yang dijangka siap pada 2029 itu menawarkan unit berkeluasan 650 kaki persegi berharga RM42,000 seunit dan merupakan sebahagian daripada pembangunan bersepadu Setia Fontaines yang dijangka menempatkan kira-kira 30,000 penduduk menjelang 2041.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan