KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Pelarian mesti menghormati dan mematuhi undang-undang di negara ini manakala Malaysia dalam masa sama, mengiktiraf keperluan untuk melindungi mereka yang melarikan diri daripada konflik dan penindasan, menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Wakil UNHCR di Malaysia Louise Aubin berkata pelarian tidak kebal daripada undang-undang sesebuah negara serta sikap saling menghormati perlu wujud antara negara tuan rumah dan golongan tersebut.
“Ia hampir seperti satu kontrak antara negara tuan rumah dan pelarian. Pelarian mesti menghormati undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada Persidangan Kuala Lumpur: Solidariti bersama-sama Pelarian bersempena dengan Hari Pelarian Sedunia di sini hari ini.
Persidangan itu dianjurkan oleh Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan kerjasama Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia.
Menyentuh kebimbangan orang ramai terhadap pelarian, terutamanya komuniti Rohingya, Aubin menegaskan UNHCR mengenakan syarat ketat dalam menentukan status pelarian dan tidak semua yang datang ke Malaysia layak sebagai pelarian.
Beliau berkata UNHCR menjalankan temu bual yang terperinci dan melakukan proses semak silang maklumat sebelum mengiktiraf seseorang individu sebagai pelarian.
“UNHCR boleh melakukan semak silang maklumat dengan pejabat-pejabatnya di seluruh dunia untuk mengesahkan sama ada seseorang berkata benar tentang diri mereka dan apa yang menyebabkan mereka lari,” katanya.
Aubin juga menyambut baik usaha Malaysia mewujudkan sistem pengurusan pelarian lebih berstruktur melalui pelaksanaan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian yang turut memperkukuh keselamatan negara melalui pengumpulan identiti dan biometrik yang disahkan.
Beliau berkata usaha seperti itu akan membantu memastikan pelarian tidak terus kehilangan tempat tinggal dan akhirnya boleh pulang ke tanah air apabila keadaan mengizinkan.
“Saya rasa itu memerlukan keutamaan dan sokongan penuh kita kerana sistem itu bukan sahaja akan melindungi pelarian dengan betul, tetapi akan memastikan pelarian menemui penyelesaian,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial