Oleh Siti Nur Athirah Abdullah & Yasmin Damia Mohd Rizal
BUTTERWORTH, 20 Jun (Bernama) -- Reruai pameran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth di sini menjadi platform pelbagai agensi dan organisasi mempromosikan inovasi, perkhidmatan serta inisiatif masing-masing kepada pengamal media dan orang ramai.
Antara 11 pempamer mengambil bahagian ialah Institut Akhbar Malaysia (MPI) yang mempromosikan program latihan di bawah Dana Inovasi Media, inisiatif Kementerian Komunikasi bagi memperkukuh kemahiran tenaga kerja industri media.
Pengurus Projek Khas MPI Nur Ramizah Abdul Aziz berkata antara program yang mendapat permintaan tinggi ialah Bengkel Ejen Kecerdasan Buatan (AI), selain latihan dalam bidang videografi, multimedia dan fotografi yang selari dengan perkembangan teknologi semasa.
“MPI menyediakan modul latihan yang disesuaikan dengan keperluan media masa kini. Selain kemahiran teknikal dan digital, kami turut memberi penekanan kepada pemerkasaan etika kewartawanan bagi memastikan pengamal media kekal profesional dalam tugas mereka,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Pengurus Jualan Runcit Pos Malaysia Pulau Pinang Nor Suria Che Sab berkata Pos Malaysia menawarkan perkhidmatan SetemKu yang membolehkan pengunjung mengabadikan kenangan HAWANA 2026 dalam bentuk setem peribadi dengan harga serendah RM25.
“Satu helaian mengandungi 10 keping setem 60 sen yang juga sah digunakan untuk urusan pos. Pengunjung perlu merebut peluang ini kerana SetemKu hanya ditawarkan di sini dan di pejabat pos terpilih,” katanya.
Pos Malaysia turut menjual pelbagai cenderamata termasuk poskad Tahun Melawat Malaysia 2026 dan rantai kunci.
Turut memanfaatkan platform HAWANA 2026 ialah MyCreative Ventures Holdings Sdn Bhd yang meningkatkan kesedaran mengenai kemudahan pembiayaan dan program sokongan untuk pemain industri kreatif tempatan.
Penolong Naib Presidennya bagi Komunikasi Strategik dan Pengurusan Pihak Berkepentingan Rafiezi Tahir berkata antara inisiatif yang diketengahkan ialah Skim Dana Padanan MyCreative (SDP) iaitu dana padanan 1-dengan-1 (1-to-1) untuk penghasilan karya atau harta intelek baharu dengan jumlah maksimum sebanyak RM250,000.
“Program SDP ini terbuka khususnya kepada sektor kreatif seperti seni persembahan, seni visual, kraf, muzik, kandungan digital kreatif dan seni multidisiplin,” katanya.
Antara pempamer lain yang mengambil bahagian ialah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Majlis Media Malaysia, MyDigital ID, MyCheck Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) selain reruai jualan barangan rasmi HAWANA 2026.
HAWANA merupakan acara tahunan anjuran Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana bagi menghimpunkan pengamal media, pemain industri serta agensi kerajaan dan swasta.
Selain menjadi acara pengiktirafan kepada wartawan dan pengamal media, HAWANA turut berfungsi sebagai platform jaringan industri, perkongsian ilmu, pameran perkhidmatan serta inovasi berkaitan media dan komunikasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial