DUNIA

Jurukamera Al Jazeera Antara 10 Terkorban Dalam Serangan Israel Di Gaza

21/06/2026 09:02 AM

BANDARAYA GAZA (Palestin), 21 Jun (Bernama-Anadolu) -- Sepuluh rakyat Palestin, termasuk jurukamera Al Jazeera Ahmad Washah dan empat anggota sebuah keluarga, terbunuh manakala puluhan lagi cedera dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak awal Sabtu, dalam pelanggaran terbaharu terhadap perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak Oktober 2025, lapor Anadolu Ajansi memetik sumber perubatan dan saksi.

Dua rakyat Palestin terbunuh, termasuk jurukamera Al Jazeera Mubasher (Siaran Langsung) Ahmad Washah, manakala seorang lagi cedera dalam serangan dron Israel yang menyasarkan sebuah rumah di Kem Al-Bureij di tengah Semenanjung Gaza.

Bahagian Mubasher Al Jazeera mengesahkan bahawa jurukameranya, Washah, terbunuh dalam serangan Israel yang menyasarkan rumah berkenaan.

Dengan kematian Washah, jumlah kakitangan dan wartawan Al Jazeera yang terkorban di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023 meningkat kepada 12 orang.

Sementara itu di Bandaraya Gaza, empat orang terdiri daripada seorang lelaki, isteri dan dua anak perempuan mereka, terbunuh dalam serangan dron Israel yang menyasarkan kediaman mereka berhampiran Persimpangan Al-Tayaran di pusat bandar itu.

Seorang warga emas Palestin turut terbunuh akibat tembakan tentera laut Israel yang menyasarkan khemah penempatan penduduk yang dipindahkan di Jalan Al-Bahr, kawasan Al-Amadi, di barat bandar itu.

Seorang lagi rakyat Palestin turut terbunuh manakala seorang wanita cedera ringan dalam serangan dron Israel yang menyasarkan pejalan kaki berhampiran bulatan Al-Saftawi di bahagian utara bandar berkenaan.

Lima lagi rakyat Palestin cedera dalam serangan dron Israel yang menyasarkan sekumpulan orang awam di kawasan kejiranan Sheikh Radwan di utara Bandaraya Gaza.

Di Beit Lahia, seorang wanita terbunuh akibat tembakan tentera Israel.

Di Khan Younis, selatan Gaza, seorang rakyat Palestin terbunuh manakala tujuh lagi cedera dalam serangan dron Israel yang menyasarkan sekumpulan penduduk di barat bandar itu.

Dua kanak-kanak lelaki Palestin turut mengalami kecederaan akibat tembakan tentera Israel berhampiran bulatan Abu Hamid di timur Khan Younis.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, pelanggaran perjanjian gencatan senjata oleh Israel telah menyebabkan 1,007 rakyat Palestin terbunuh dan 3,165 lagi cedera.

Perjanjian gencatan senjata itu dicapai selepas perang genosid Israel selama dua tahun di Gaza yang mengorbankan lebih 73,000 rakyat Palestin, mencederakan lebih 173,000 yang lain serta menyebabkan kemusnahan besar terhadap kira-kira 90 peratus infrastruktur awam.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan