KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Pengguna kenderaan diesel menyifatkan pengumuman kerajaan menurunkan harga bersubsidi untuk rakyat kepada RM2.10 seliter mulai Julai ini sebagai berita baik yang ditunggu-tunggu.
Beberapa pengguna menganggap langkah itu dapat mengurangkan beban kos bahan api yang ditanggung ketika ini.
Peniaga pasar malam di Shah Alam, Selangor Mohd Faizal Ahmad, 43, berkata penurunan itu banyak memberi penjimatan kepadanya.
“Setiap hari saya ulang-alik dari rumah ke tapak niaga dengan membawa khemah serta barang jualan. Bila harga turun dan subsidi hanya untuk rakyat Malaysia, saya rasa lebih yakin bantuan itu sampai kepada golongan yang betul.
“Saya berharap proses menggunakan MyKad nanti akan mudah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Kontraktor kecil dari Johor Bahru, Johor Tan Chee Keong, 52, yang menggunakan Toyota Hilux bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan penghantaran bahan binaan menyifatkan langkah itu sebagai baik dan lebih adil.
“Kos bahan api antara perbelanjaan utama. Kalau sistem MyKad dapat memastikan subsidi tidak disalah guna, saya rasa itu langkah yang baik,” katanya.
Pengusaha kebun sayur dari Sungai Siput, Perak R. Mageswaran, 38, berkata penurunan harga diesel dapat membantunya mengurangkan kos operasi.
“Saya gunakan van untuk hantar sayur ke pasar dan kedai makan hampir setiap hari. Bila harga diesel lebih rendah, sedikit sebanyak dapat kurangkan kos operasi. Saya harap pelaksanaan menggunakan MyKad nanti berjalan lancar supaya orang yang benar-benar menggunakan diesel untuk cari rezeki dapat menikmati manfaatnya,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata Kerajaan MADANI akan menurunkan harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia kepada RM2.10 seliter mulai Julai 2026 dan dilaksanakan selaras dengan pendekatan yang digunakan melalui program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), iaitu dengan pengesahan melalui MyKad.
Anwar berkata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan memberikan penjelasan mengenai perlaksanaan harga baharu diesel bersubsidi esok.
Kementerian Kewangan (MoF) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan melalui pembaharuan itu, rakyat akan menikmati harga yang sama dan cara yang sama di seluruh negara, termasuk di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Ketika ini, diesel masih dijual pada harga runcit bersubsidi RM2.15 seliter di semua stesen minyak di Sabah dan Sarawak, berbanding harga runcit diesel tanpa subsidi RM4.37 seliter di Semenanjung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial