Oleh Siti Nur Athirah Abdullah
BUTTERWORTH, 21 Jun (Bernama) -- Bagi kebanyakan orang, cahaya matahari hanyalah sumber pencahayaan, namun bagi pengkarya cyanotype Puteri Mas Aishah Ramyusnali, setiap perubahan cuaca dan tahap sinaran ultraungu membawa makna tersendiri, yang menjadi sebahagian daripada proses menghasilkan karya seninya.
Anak kelahiran Pulau Pinang berusia 24 tahun itu berkata penglibatannya dalam seni cetakan berasaskan cahaya matahari sejak kira-kira tiga tahun lepas bukan sahaja membuka ruang untuk berkarya, malah mengubah cara beliau melihat hubungan antara manusia dan alam sekitar.
“Proses penghasilan cyanotype ini berkait rapat dengan alam semula jadi. Kita menggunakan daun, bunga atau objek lain dan susun di atas kertas yang sudah disapu bahan fotosensitif sebelum kita letakkan di bawah cahaya matahari untuk 10 ke 15 minit.
“Selepas itu, kita alihkan objek, bunga atau daun tadi dan kita cuci kertas tadi dalam air yang berasid dan beralkali. Secara perlahan-lahan imej berwarna biru mula muncul,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di bengkel cyanotype di Karnival RIUH Pi HAWANA di tapak parkir PICCA Convention Centre@ Arena Butterworth, di sini.
Pelajar Sarjana Seni Halus dan Teknologi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu berkata proses berkenaan mengajar pengamal seni sepertinya untuk lebih menghargai faktor yang sering diabaikan dalam kehidupan seharian, seperti cuaca, cahaya dan sumber air kerana setiap satunya memainkan peranan dalam menentukan hasil akhir karya.
“Sebagai pengamal cyanotype, saya perlu peka dengan keadaan cuaca dan sinaran UV setiap hari kerana ia memberikan kesan kepada hasil cetakan. Lebih tinggi sinaran UV hari itu, semakin pekat warna biru yang dihasilkan.
“Kadang-kadang saya terfikir, jika cuaca panas memberikan kesan kepada proses karya saya, bagaimana pula cabaran yang dihadapi mereka yang bekerja di bawah terik matahari setiap hari,” katanya.
Anak sulung daripada lima beradik itu berkata minat terhadap seni berkenaan bermula ketika menjalani latihan industri apabila diberi peluang mengendalikan bengkel seni secara terbuka.
Walaupun pada mulanya berasa gementar untuk berdepan dengan orang ramai tanpa bimbingan pensyarah atau penyelia, beliau memberanikan diri menerima cabaran itu dan menjadikannya titik permulaan untuk meneroka bidang itu dengan lebih serius.
Beliau juga aktif menganjurkan bengkel seni seperti itu dan pernah berkolaborasi bersama beberapa studio dan galeri seni di Shah Alam, Selangor.
Puteri Mas Aishah berharap lebih ramai masyarakat, khususnya golongan muda, melihat seni sebagai medium untuk memahami persekitaran dan bukan sekadar menghasilkan karya.
“Saya harap bidang ini dapat memberikan impak yang baik kepada masyarakat kerana kadang-kadang orang pandang remeh seni, sedangkan sebenarnya ia sangat dekat dengan kehidupan kita,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial