DUNIA

Uzbekistan Manfaatkan Kepakaran Malaysia, Perluas Pelancongan Mesra Muslim

21/06/2026 01:32 PM

Oleh Zarul Effendi Razali and Nabila Uzma Abd Kadir

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Uzbekistan memanfaatkan kepakaran Malaysia dalam pelancongan mesra Muslim dan pembangunan ekosistem halal bagi memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pilihan pelancong antarabangsa di rantau Asia Tengah.

Duta Uzbekistan ke Malaysia Dr Karomidin Gadoyev berkata kejayaan Malaysia dalam menarik pelancong antarabangsa serta membangunkan ekosistem halal yang komprehensif menawarkan pengajaran berharga kepada Uzbekistan.

"Pelancongan halal amat penting. Kini, kami sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk memperluaskan pelancongan halal dengan menyediakan lebih banyak hotel halal, restoran halal dan mewujudkan sistem itu dengan bantuan Malaysia.

"Kami juga menghantar kakitangan ke sini untuk mempelajari amalan terbaik serta mendapatkan latihan daripada pakar Malaysia," kata beliau kepada Bernama di luar Pameran Pasaran Pelancongan Antarabangsa HUITM-Umrah Plus 202 yang berlangsung di sini.

Gadoyev berkata Uzbekistan melihat Malaysia sebagai peneraju global dalam industri pelancongan mesra Muslim.

"Justeru, kami perlu belajar daripada Malaysia. Kami perlu menimba ilmu kerana dalam pelancongan mesra Muslim, setiap elemen walaupun kecil amat penting. 

"Di sini, anda telah pun membangunkan sistem itu, manakala kami baru memulakan langkah pertama," katanya.

Selain segmen pelancongan mesra muslim dan halal, Gadoyev berkata Uzbekistan turut giat mempromosikan pelancongan berasaskan sejarah memandangkan negara itu kaya dengan tapak warisan seni bina dan kebudayaan.

Beliau berkata pelancongan gastronomi turut menjadi tarikan utama kerana Uzbekistan menawarkan pelbagai hidangan yang enak, manakala ekopelancongan yang menampilkan landskap pergunungan dan padang pasir serta pelancongan berasaskan pertanian semakin mendapat sambutan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan