POLITIK

PRN Johor: Anwar Umum Senarai Penuh Calon PH Malam Ini

22/06/2026 09:04 AM

JOHOR BAHRU, 22 Jun (Bernama) -- Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengumumkan senarai penuh 56 calon gabungan itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, malam ini.

Majlis pengumuman calon dijadual berlangsung pada jam 8 malam di Padang Bukit Gambir Extreme Park, sekali gus melengkapkan keseluruhan senarai calon PH yang akan bertanding pada PRN berkenaan.

Barisan kepimpinan tertinggi PH, antaranya Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu dijadual hadir pada majlis itu bersama jentera serta penyokong gabungan berkenaan.

Setakat ini, PH menerusi DAP sudah mengumumkan lima calon iaitu peguam Chu Poh Yee (Mengkibol); Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Kewangan Nor Zulaila Abd Ghani (Tiram); Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Johor Lee Wern Yiing (Johor Jaya); bekas penyandang Wong Bor Yang (Senai); serta pembantu khas Ahli Parlimen Kulai Mohamad Shafwan Ani (Bukit Permai).

PKR pula sebelum ini mengumumkan Arthur Chiong Sen Sern yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu.

Menerusi hantaran di media sosial semalam, Anwar berkata Johor berhak mendapat kepimpinan yang berintegriti, berwibawa dan bekerja keras demi kemajuan negeri serta kesejahteraan rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 Jun sebagai hari penamaan calon, manakala 7 Julai sebagai hari pengundian awal dan 11 Julai sebagai hari pengundian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan