KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mempergiat usaha memperkukuh hubungan antara universiti awam dan industri bagi meningkatkan kadar pengkomersialan hasil penyelidikan negara yang masih menjadi antara cabaran utama ekosistem inovasi.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata kerajaan memberi penekanan kepada pendekatan penyelidikan berasaskan impak bagi memastikan setiap hasil kajian dapat diterjemahkan kepada nilai ekonomi serta manfaat kepada industri.
Beliau berkata pendekatan tersebut berbeza dengan kaedah terdahulu yang kebanyakannya lebih bersifat berasaskan penerbitan semata-mata.
“Namun kini, kita memberi tumpuan kepada penyelidikan berasaskan impak, iaitu bagaimana output penyelidikan dapat dimanfaatkan secara langsung. Pendekatan inilah yang telah diubah termasuk dari segi mewujudkan ekosistem yang lebih baik dalam hubungan antara industri dan universiti,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) mengenai strategi kementerian dalam memacu penyelidikan dan pembangunan (R&D) berimpak tinggi di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), termasuk aspek dasar pembiayaan, mekanisme pemindahan teknologi kepada industri dan pencapaian pengkomersialan inovasi dalam tempoh tiga tahun lepas.
Zambry berkata dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, KPT telah melaksanakan pelan strategik dengan memberi fokus kepada penyelidikan yang mampu menyelesaikan cabaran industri dan masyarakat, dan bukan lagi bergantung sepenuhnya kepada output akademik.
Katanya, semua IPTA, khususnya lima universiti penyelidikan, terus diperkasakan untuk menerajui penyelidikan bertaraf global dalam bidang kritikal seperti keterjaminan makanan, teknologi hijau, kecerdasan buatan (AI) serta kejuruteraan termaju.
Langkah itu menyaksikan lebih 200 produk hasil penyelidikan universiti awam berjaya dikomersialkan, manakala 286 teknologi dan pengetahuan dilesenkan kepada pihak industri dalam tempoh 2022 hingga 2024.
Beliau berkata keberkesanan seluruh rantaian strategi termasuk pembiayaan dalam bidang R&D serta inovasi bagi setiap universiti awam turut diukur melalui Pentaksiran Penyelidikan Malaysia.
Inisiatif tersebut merangkumi program kolaborasi Makmal Malaysia untuk Kerjasama Akademia-Perniagaan (MyLAB), Program Geran Padanan Industri dan Jaringan Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN) bagi mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan di samping memastikan penyelidikan memenuhi permintaan pasaran.
Sebagai langkah ke hadapan, Zambry berkata KPT akan menganjurkan Sidang Kemuncak Penyelidikan, Inovasi dan Pelaburan Universiti pada September ini yang akan menghubungkan industri dan pelabur bagi menghasilkan penyelidikan yang boleh dilaburkan serta memacu inovasi barisan hadapan, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan teknologi dan inovasi Asia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial