KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Lebih 150 jemaah hadir menunaikan solat jenazah tokoh sastera dan bekas Pengerusi Lembaga Pengelola Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Prof Emeritus Datuk Abu Bakar Abd Hamid yang meninggal dunia akibat sakit tua pada usia 87 tahun malam tadi.
Solat jenazah dilakukan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, di sini selepas Allahyarham dimandi dan dikafankan di masjid sama. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Zohor.
Selain ahli keluarga, turut bersama-sama menunaıkan solat jenazah itu ialah tokoh kewartawanan negara Tan Sri Johan Jaaffar.
Johan ketika ditemui sebelum solat jenazah berkata Allahyarham merupakan pensyarahnya di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya dari 1975 hingga 1977 dan disifatkan sebagai seorang pakar akademik yang amat berdedikasi.
Beliau berkata Allahyarham telah banyak mencorakkan perkembangan Jabatan Pengajian Melayu serta memberi pengaruh besar kepada generasi pelajar yang menuntut di universiti berkenaan ketika itu.
"Beliau seorang pensyarah yang sangat berdedikasi dan telah memberikan warna serta corak kepada Jabatan Pengajian Melayu. Tidak ramai yang mengetahui bahawa Allahyarham bersama Profesor Wahab Ali merupakan pengasas Jabatan Kreatif dan Deskriptif Universiti Malaya yang ditubuhkan sekitar 1977.
"Jabatan Kreatif dan Deskriptif itu kemudiannya(ditukarkan) menjadi Jabatan Media di Universiti Malaya. Besar sekali jasa Allahyarham kepada dunia media dan dunia pengajar," katanya.
Sementara itu, anak bongsu arwah, Ahmad Muzaffar, 45, berkata selepas Hari Raya Aidiladha tempoh hari, bapanya kelihatan kurang makan dan membawanya untuk tinggal bersama beliau.
"Namun, beberapa hari sebelum pemergiannya (dan pada) awal pagi tadi, arwah makan dengan berselera dan masih bertenaga untuk berjalan melakukan aktiviti hariannya.
"Arwah tiba-tiba sesak nafas malam tadi sebelum menghembuskan nafas terakhir di kediaman saya," katanya.
Ahmad Muzaffar menyifatkan bapanya sebagai seorang yang berintegriti tinggi, tegas dan sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan apabila beliau yakin mereka berada di pihak yang benar.
Sepanjang hayat, Allahyarham yang merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola Bernama dari 1996 sehingga 2000 menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah berprestij atas sumbangan beliau dalam bidang kesusasteraan.
Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya pada 1987 dan memegang jawatan Setiausaha Bersama bagi Jawatankuasa Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1968.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial