SHAH ALAM, 22 Jun (Bernama) -- Sebanyak 50,000 keluarga yang layak di Selangor boleh memohon bantuan menerusi inisiatif Baucar Kita Selangor bermula 12 tengah hari esok.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata bantuan berjumlah RM100 sebulan selama enam bulan itu melibatkan peruntukan keseluruhan RM30 juta, dengan permohonan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian menerusi portal rasmi www.baucarkitaselangor.com.
“Dengan peruntukan sebanyak RM30 juta, Baucar Kita Selangor akan menyalurkan RM100 sebulan untuk tempoh enam bulan kepada 50,000 keluarga agar sebarang risiko peningkatan harga barangan tidak mendatangkan impak negatif kepada kehidupan rakyat.
“Kita juga memberikan ruang khas kepada ibu tunggal yang terpaksa bekerja sambil menyara anak dengan pendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah untuk turut memohon bantuan ini,” katanya pada sidang media di Lobi Wisma Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Katanya, kumpulan sasaran dikenal pasti berdasarkan data pemohon yang belum menerima bantuan sedia ada seperti Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) serta selaras dengan pangkalan data agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Selangor.
Amirudin berkata bantuan berkenaan akan disalurkan terus ke akaun e-dompet penerima yang layak menerusi proses pendaftaran dalam talian yang telah disahkan, sekali gus mengurangkan risiko ketirisan selain membolehkan kerajaan negeri memantau penggunaan bantuan dan corak perbelanjaan penerima secara berkala.
“Ia sebagaimana kita laksanakan program BINGKAS sebelum ini dengan hampir semua perbelanjaan dikenal pasti.
“Kalau dia tak gunakan selama beberapa kali, kita akan batalkan penyertaan BINGKAS mereka kerana kita anggap dia tidak memerlukan dan itu antara sudut kerja yang telah kita laksanakan dalam rangka sebelum ini,” katanya.
Sebelum ini, Amirudin memaklumkan sejumlah 50,000 keluarga kurang berkemampuan di negeri ini bakal menerima bantuan bulanan RM100 selama enam bulan bermula 30 Jun ini di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 yang diumumkan 19 April lepas.
Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata kerajaan negeri akan terus melaksanakan program BINGKAS yang menyalurkan RM300 sebulan kepada 30,000 keluarga bagi membendung kemiskinan tegar, dengan keseluruhan RM138 juta diperuntukkan bagi bantuan terus kepada rakyat untuk menangani peningkatan kos sara hidup.
Beliau berkata strategi jangka panjang turut dirangka bagi mengurangkan kebergantungan rakyat terhadap bantuan tunai menerusi program peningkatan kemahiran dan pembangunan usahawan, termasuk memadankan penerima bantuan dengan peluang pekerjaan yang lebih baik bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial