KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Kerajaan menegaskan bahawa peruntukan Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967 tidak bersifat menghukum tetapi bertujuan menjamin kutipan hasil cukai negara yang teratur demi membiayai agenda pembangunan negara.
Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata persepsi bahawa seksyen itu mewujudkan kuasa yang ketara memihak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi tekanan kepada pembayar cukai adalah tidak tepat.
“Pemakaian Seksyen 103 dalam Akta Cukai Pendapatan 1967 bukanlah peruntukan baharu, sebaliknya telah diguna pakai sejak tahun 1968. Ia merupakan prinsip percukaian antarabangsa yang telah diamalkan oleh pentadbir cukai di negara lain,” katanya pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab usul Ganabatirau Veraman (PH-Klang) mengenai pelaksanaan Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967 yang didakwa mewujudkan ketidakseimbangan kuasa antara pihak berkuasa cukai dan pembayar cukai.
Peruntukan itu mengawal selia tempoh pembayaran dan penalti bagi cukai yang gagal dilunaskan kepada LHDN dalam tempoh yang ditetapkan dan meliputi tiga peruntukan utama iaitu tarikh kena bayar, penalti kelewatan 10 peratus dan penalti tambahan lima peratus.
Liew berkata prinsip ini juga telah diiktiraf dan dikuatkuasakan melalui keputusan kes-kes di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
“Walaupun taksiran cukai LHDN wajib dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan tanpa mengira status rayuan, hak undang-undang pembayar cukai untuk mengemukakan rayuan selepas bayaran dibuat tetap terpelihara,” katanya.
Pada masa yang sama, katanya konsep bayar dahulu tidak beroperasi secara bersendirian, sebaliknya diselaraskan dengan kemudahan bayaran ansuran, peruntukan bayaran balik dan pengenaan faedah bagi memastikan sebarang lebihan bayaran dapat dikembalikan kepada pembayar cukai yang berhak.
“Sekiranya konsep bayar dahulu ini tidak dilaksanakan, ia akan membuka ‘loop hole’ kepada pihak tertentu untuk mengeksploitasi platform rayuan semata-mata untuk melengahkan bayaran cukai tanpa alasan yang kukuh,” katanya.
Katanya daripada 6,122,290 Borang Nyata Cukai Pendapatan yang diterima pada 2025, hanya terdapat 606 kes rayuan, dengan 148 kes selesai melalui prosiding Jabatan Resolusi Percukaian dan 458 kes didaftarkan dengan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP).
“Jumlah kes rayuan pada 2025 adalah kurang daripada 0.01 peratus (0.0098 peratus),” katanya.
Liew berkata prinsip ini juga bertujuan menjamin hak pembayar cukai serta memastikan keadilan kepada mereka yang membayar cukai tepat pada masanya.
Katanya kerajaan komited untuk terus menambah baik tatakelola dan proses semakan dalaman bagi memastikan setiap taksiran yang dibangkitkan adalah adil, telus dan tidak menjejaskan kebajikan pembayar cukai serta hasil negara.
Mengenai isu serahan notis taksiran, katanya kaedah serahan melalui pos biasa atau pos berdaftar adalah peruntukan yang termaktub secara khusus dalam Akta Cukai Pendapatan 1967.
Beliau berkata dakwaan bahawa serahan notis boleh dibuat tanpa keperluan pembuktian penyampaian yang ketat adalah tidak tepat.
“Bagi Taksiran Tambahan, Taksiran Anggaran atau Taksiran Komposit, LHDN wajib mengemukakan bukti serahan pengeposan yang sah apabila memohon penghakiman terus di mahkamah,” katanya.
Beliau berkata institusi kehakiman sentiasa meneliti pembuktian penyampaian taksiran berdasarkan standard beban pembuktian kes sivil, iaitu ‘on the balance of probabilities’.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pembayar cukai untuk mengemas kini butiran alamat terkini dengan LHDN bagi memastikan notis taksiran dapat disampaikan dengan sewajarnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial