TASEK GELUGOR, 22 Jun (Bernama) -- Tatkala kebanyakan remaja seusianya masih bergantung kepada keluarga, Auni Batrisya A Rahman Siyutti, 18, terpaksa belajar berdikari selepas kehilangan kedua ibu dan bapanya.
Anak bongsu daripada enam beradik dari Kampung Bukit Serdang, Air Panas Pengkalan Hulu, Perak itu berkata bapanya meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2015 manakala ibunya Salbiah Ahmad pula menghembuskan nafas terakhir pada Disember 2021 akibat jangkitan paru-paru.
Auni Batrisya berkata beliau terpaksa tinggal bersendirian di rumah pusaka itu selepas kakaknya Alya Qistina, 22, berkahwin tahun lepas, namun ujian hidup yang dilalui itu menjadi pembakar semangat untuk mengejar cita-cita dalam bidang kejuruteraan elektrik.
Penderitaan yang dialami Auni Batrisya bagaimanapun mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, sekali gus membuka peluang baharu untuk melanjutkan pengajian dalam bidang yang diminati.
“Berpeluang mengikuti pengajian Diploma Kejuruteraan Elektrik (Domestik dan Industri) di TVET MARA Seberang Perai Utara (SPU) di sini bukan sekadar merealisasikan impian saya menjadi jurutera, malah langkah penting untuk mengubah nasib diri serta keluarga.
“Pada awalnya, kunjungan saya ke Pusat Sebaran Maklumat (NADI) Pengkalan Hulu minggu lepas hanya untuk mengisi borang bantuan bagi mendapatkan sebuah komputer riba selepas ditawarkan mengikuti pengajian di Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (POLIMAS) di Jitra, Kedah,” katanya.
Auni Batrisya berkata sebenarnya semua perbelanjaan menyambung pengajian ke POLIMAS telah diselesaikan menggunakan wang simpanan dan faraid.
“Tidak sangka pula kunjungan saya ke NADI itu mendapat perhatian Datuk (Asyraf). Beliau sendiri menghubungi saya pada Selasa lepas dan menawarkan tempat di TVET MARA SPU,” katanya ketika ditemui selepas mendaftar masuk ke institusi itu di sini hari ini dengan ditemani dua abang.
Beliau berkata bantuan yang diterima itu melonjakkan keazamannya untuk belajar bersungguh-sungguh demi mengubah nasib diri dan keluarga, selain membanggakan arwah ibu dan bapa meskipun mereka tiada lagi untuk melihat kejayaan itu.
“Saya juga mahu membalas kembali jasa semua adik-beradik termasuk Datuk (Asyraf Wajdi) yang memberi peluang dan bantuan untuk saya melanjutkan pengajian. Saya difahamkan gaji awal dalam bidang TVET ini boleh mencecah RM4,000 hingga RM6,000 dan jika sudah berjaya nanti saya pula akan bantu abang-abang dan membalas kembali segala jasa mereka kepada saya,” katanya.
Sementara itu, abang kedua Mohd Zuhri, 36, menyifatkan adiknya itu sebagai seorang yang tabah dan sentiasa menunjukkan semangat luar biasa untuk terus belajar serta tidak mudah mengalah walaupun berdepan kesusahan.
“Sekarang dia sudah menjadi tular di media sosial. Jadi, saya selalu berpesan jangan jadi angkuh atau terleka. Fikir ke depan untuk berjaya… kami akan terus beri sokongan dan sentiasa ada bersama dia,” katanya.
Terdahulu, penderitaan yang dialami Auni Batrisya mendapat perhatian Asyraf Wajdi yang membantunya mendapatkan tempat di TVET MARA SPU, selain turut menawarkan anak yatim piatu itu sebagai anak angkatnya bagi memudahkan beliau memantau prestasi pendidikan serta menampung keperluan kehidupan remaja berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial