KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Pejabat baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Bandar Tasik Selatan (BTS) di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) yang dibuka secara rasmi hari ini akan menjadi cawangan pertama JPJ beroperasi hingga 10 malam, tujuh hari seminggu.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pejabat baharu itu dibuka di lokasi strategik yang mudah diakses melalui pengangkutan awam selain kemudahan parkir yang mencukupi, sekali gus memberi keselesaan kepada pelanggan ketika berurusan dengan JPJ.
“Ini bukan lagi konsep pejabat kerajaan tradisional tetapi lebih kepada kesesuaian warga kota. Dengan operasi sehingga 10 malam dan tujuh hari seminggu, rakyat boleh menguruskan urusan mengikut kesesuaian masa mereka tanpa perlu mengorbankan komitmen pekerjaan atau keluarga,” katanya pada majlis perasmian pejabat baharu JPJ itu, di sini, hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Jana Santhiran Muniayan, Pengerusi Maju TMAS Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli.
Loke berkata pejabat seluas lebih 14,000 kaki persegi di tingkat tiga TBS itu menggantikan cawangan JPJ Bandar Sri Permaisuri yang telah beroperasi sejak 2006 dan menerima kira-kira 1,300 pelanggan setiap hari.
“Pemindahan ke TBS bukan sahaja memberi keselesaan kepada pelanggan malah membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di lokasi lama yang terletak di kawasan rumah kedai dan mempunyai kekurangan tempat letak kereta,” katanya.
Pada sidang media selepas majlis itu, beliau berkata cawangan berkenaan dijangka dapat melayani sehingga 1,700 pelanggan sehari, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di cawangan JPJ lain.
“Operasi panjang dari 8.30 pagi hingga 10 malam itu akan dilaksanakan menerusi sistem dua syif, yang turut memberi fleksibiliti kepada petugas dalam menguruskan urusan peribadi mereka,” katanya.
Beliau berkata konsep model operasi metropolitan itu merupakan sebahagian daripada usaha memperluaskan kehadiran pejabat JPJ moden di kawasan tumpuan orang ramai serta mengoptimumkan penggunaan aset awam seperti terminal pengangkutan.
“Kita bukan sahaja melihat TBS sebagai hab pengangkutan awam, tetapi sebagai pusat komuniti yang penting. Dengan adanya pelbagai kemudahan dan kini pejabat agensi kerajaan, ia akan menjadi tempat tumpuan orang ramai dan menambah nilai kepada terminal ini,” katanya.
Loke berkata pada masa depan kementeriannya akan turut mempertimbangkan pendekatan serupa di lokasi lain termasuk Terminal Bersepadu Gombak.
Mengenai pendigitalan, beliau berkata kerajaan komited memperluaskan penggunaan teknologi dalam penyampaian perkhidmatan awam, termasuk menerusi kiosk layan diri, aplikasi MyJPJ dan penggunaan MyDigital ID di cawangan berkenaan.
Beliau berkata JPJ juga sedang mempergiatkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) termasuk bagi tujuan analisis tingkah laku pemandu serta memperluaskan inisiatif pendigitalan insurans untuk memudahkan pengguna.
Selain itu, katanya, TBS turut menyediakan “AI helpdesk” yang membolehkan pengguna termasuk pelancong asing mendapatkan maklumat dalam pelbagai bahasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial