IPOH, 22 Jun (Bernama) -- Seramai 2,182 pelajar baharu, termasuk tiga pasangan kembar dan tujuh pelajar orang kurang upaya (OKU) memilih Politeknik Ungku Omar (PUO) sebagai destinasi pengajian mereka bagi Sesi I: 2026/2027.
PUO dalam kenyataan hari ini memaklumkan kemasukan kesemua pelajar baharu itu sekali gus membuktikan keyakinan masyarakat terhadap kualiti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan oleh institusi tersebut.
Pendaftaran pelajar baharu itu berlangsung pada 20 dan 21 Jun 2026 di kampus PUO yang menyaksikan kehadiran pelajar bersama ibu bapa dan penjaga dari seluruh negara bagi melengkapkan proses pendaftaran sebelum memulakan sesi pengajian.
Pengarah PUO Dr Salmi Che Meh berkata kemasukan seramai 2,182 pelajar baharu itu merupakan manifestasi kepercayaan masyarakat terhadap peranan institusi tersebut dalam melahirkan graduan TVET yang berkualiti, berkemahiran tinggi dan memenuhi kehendak industri semasa.
"Gunakan peluang yang ada untuk menimba ilmu, membina sahsiah serta mengembangkan potensi diri agar menjadi graduan yang berkualiti, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan," katanya menerusi kenyataan itu.
PUO memaklumkan bagi sesi kemasukan kali ini, pelajar baharu akan mengikuti pengajian dalam 18 program yang ditawarkan merangkumi pelbagai bidang strategik antaranya Diploma Perakaunan (DAC), Diploma Kewangan Islam (DIF), Diploma Kewangan (DFI) dan Diploma Pengajian Perniagaan (DPM).
Menurut PUO, tiga pasangan kembar yang mendaftar bagi sesi kali ini ialah Nur Fatin Shazana Mohd Fadzil dan Muhammad Aqil Taqiuddin Mohd Fadzil dari Manong, R. Varshaan dan R. Varmhan dari Taiping serta B. Sharacaniswarran dan B. Shanmugiswaran dari Rawang, Selangor, selain tujuh pelajar OKU yang turut mewarnai Minggu Transformasi Siswa (MTS) PUO tahun ini.
"Kehadiran mereka mencerminkan kepelbagaian latar belakang pelajar yang memilih PUO sebagai destinasi pengajian TVET, sekali gus menambah kemeriahan dan keunikan sesi kemasukan pelajar baharu bagi sesi ambilan ini.
"Kepelbagaian program yang ditawarkan mencerminkan komitmen PUO dalam menyediakan pendidikan TVET berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan industri semasa dan masa hadapan, selaras dengan agenda pembangunan modal insan negara," menurut kenyataan itu.
Selain memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik, PUO turut menyediakan pelbagai platform pembangunan sahsiah, kepimpinan, kesukarelawanan, inovasi, keusahawanan dan aktiviti kokurikulum bagi melahirkan graduan holistik yang memiliki kemahiran teknikal serta insaniah seimbang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial