JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Saman Pelaburan: QEW Group Dakwa 111 Pelabur Sedar Tahap Risiko

23/06/2026 07:28 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- QEW Group Bhd dan dua pengarah syarikat itu memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa 111 pelabur yang mengemukakan saman terhadap mereka atas dakwaan gagal memulangkan modal pelaburan berjumlah RM20.5 juta merupakan pelabur sofistikated yang secara sedar menyertai pelaburan berkenaan dan berupaya menilai sendiri risiko pelaburan.

Syarikat dan dua pengarah yang merupakan defendan dalam pernyataan pembelaan bagi menjawab saman itu berkata skim pelaburan Redeemable Preference Shares-i (RPS-i) ialah produk berstruktur yang disasarkan kepada pelabur sofistikated yang lazimnya memerlukan pelaburan minimum RM250,000.

Dakwa ketiga-tiga defendan, kesemua plaintif ialah pelabur sofistikated yang mengisytiharkan mereka berupaya menilai sendiri risiko berkaitan pelaburan mereka dan turut menandatangani jaminan yang mengesahkan kelayakan masing-masing.

"Kesemua pelabur memenuhi kriteria sebagai pelabur sofistikated di bawah rangka yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Berdasarkan Klausa 8 Perjanjian RPS-i, plaintif-plaintif mengetahui dan memahami bahawa pelaburan RPS-i membabitkan tahap risiko yang ketara dan sebarang makluman mengenai pulangan modal atau dividen yang dinyatakan dalam perjanjian atau Information Memorandum hanyalah bersifat anggaran dan tidak dijamin," kata ketiga-tiga defendan.

Defendan berkata kesemua pelabur mengakui mereka tergolong dalam kategori pelabur di bawah Jadual 6 dan Jadual 7 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam hal ehwal kewangan, perniagaan serta berkeupayaan menilai merit dan risiko pelaburan sebelum membuat keputusan untuk melabur dalam RPS-i.

“Plaintif juga bersetuju di bawah Klausa 8.10 Perjanjian RPS-i untuk menanggung rugi dan melindungi defendan pertama dan pegawai atau pengarahnya daripada sebarang tindakan, tuntutan atau prosiding yang timbul berhubung dengan representasi atau maklumat yang diberikan oleh plaintif berkaitan pelaburan RPS-i.

“Nilai dan hasil pelaburan melalui RPS-i tidak bersifat tetap dan boleh berubah mengikut keadaan semasa termasuk kemungkinan pulangan lebih rendah daripada jangkaan atau kelewatan dalam pelaksanaan sebarang pembayaran atau penebusan, bergantung pada prestasi serta kedudukan kewangan syarikat,” menurut kesemua defendan.

Pada 3 April lepas, 111 pelabur berusia antara 28 hingga 89 tahun memfailkan saman itu dengan mendakwa antara 2022 hingga 2024, mereka dipengaruhi dan didorong oleh defendan untuk melabur dan melanggan Skim Pelaburan RPS-i yang ditawarkan, dipromosikan, dipasarkan serta diuruskan defendan.

Mereka mendakwa pada awalnya, pembayaran dividen dibuat seperti yang dijanjikan, bagaimanapun QEW mula gagal melaksanakan kewajipan apabila pembayaran dividen dijanjikan ditangguhkan, dikurangkan dan seterusnya dihentikan sepenuhnya.

Sehubungan dengan itu, kesemua plaintif memohon perintah supaya syarikat berkenaan membayar RM20.5 juta kepada mereka dan perisytiharan bahawa dua pengarah syarikat itu bertindak cuai dan melakukan skim penipuan modal pelaburan mereka. 

Sementara itu, peguam Ahmad Ahnaf Zaimi yang mewakili kesemua defendan ketika dihubungi pemberita mengesahkan mengenai pernyataan pembelaan itu.

QEW dalam kenyataan media hari ini memaklumkan syarikat berkenaan kini sedang melaksanakan pelan penstrukturan semula dan Pelan Keluar (Exit Plan) sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memenuhi komitmennya kepada para pelabur.

"Perkara tersebut kini dikemukakan di mahkamah dalam konteks proses penstrukturan semula korporat dan penyelesaian obligasi syarikat. Proses sedemikian bukan sesuatu yang luar biasa dalam industri kewangan dan pelaburan, khususnya apabila sesebuah syarikat melaksanakan langkah tersusun bagi memenuhi obligasinya secara teratur dan mampan," menurut syarikat itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan